
ZAHRAIN Mohamed Hashim.
JAKARTA: Lebih 1,000 tetamu menghadiri majlis makan malam sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-59 anjuran Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia yang berlangsung di sebuah hotel di sini malam tadi.
Majlis yang meriah dengan jamuan pelbagai hidangan masakan Malaysia itu turut dihadiri Menteri Agraria dan Tataruang Negara Sofyan Djalil yang mewakili kerajaan Republik Indonesia.
Sofyan dalam ucapannya berkata, Indonesia sentiasa menganggap Malaysia sebagai sebuah negara jiran yang paling akrab dan mempunyai hubungan ekonomi dan politik yang sangat istimewa.
Katanya, Malaysia turut menyumbang kerancakan ekonomi Indonesia terutamanya dalam industri pelancongan dan pembangunan.
Terdahulu, Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata sebagai negara serumpun kerajaan Malaysia juga mempunyai hubungan istimewa dengan Indonesia sejak zaman sebelum kemerdekaan lagi.
Beliau berkata, hubungan diplomatik secara rasmi dengan Indonesia telah terjalin sejak negara mencapai kemerdekaan dan kedua-dua negara berjaya mengeratkan hubungan persaudaraan melampaui segala batasan dan sektor.
Zahrain berkata, walaupun dalam kelembapan ekonomi tahun 2015, nilai dagangan antara kedua-dua negara sebenarnya telah meningkat sebanyak RM1 bilion berbanding tahun 2014 dengan mencatat RM60.16 bilion.
Begitu juga hubungan pendidikan dan setakat ini 5,000 pelajar Malaysia sedang mengikuti pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang perubatan dan pergigian di institusi pengajian tinggi di Indonesia manakala lebih 10,000 rakyat Indonesia pula sedang mengikuti pengajian peringkat ijazah tinggi di Malaysia, kata beliau.
Turut hadir isteri Zahrain, Datin Seri Che Mahani Ismail dan Wakil Tetap Malaysia di ASEAN, Datuk Sharifah Norhana Syed Mustaffa.
Majlis itu turut dihadiri Speaker Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia Zulkifli Hasan, anggota politik Indonesia, diplomat asing, ahli perniagaan dan rakyat Malaysia yang berada di Jakarta. - BERNAMA

Oleh Mohd Iskandar Ibrahim 08 Sep, 2016
Bagaimana Pula Pandangan Anda?
click the icon and copy the shortcode
To insert emoticon you must added at least one space before the code.