WORLD#QuranHour dapat sambutan

Oleh Rafidah Mat Ruzki, Magendran Rajagopal, Tuty Haryanti Ahmad Rodzi, Mohd Fahmi Mohd Yusof, Nurul Fhatihah Zakinan,

Aslina Abu Bakar, Muhammad Zulsyamini Sufian Suri, Muhammad Sufian Rosli

bhnews@com.my

AZIZULHASNI Awang antara peserta program WORLD#QuranHour secara langsung di Sri Pentas 2, pagi ini. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

SHAH ALAM: Pelumba basikal negara, Azizulhasni Awang dan pelakon Datuk Rosyam Nor adalah antara peserta program WORLD#QuranHour secara langsung di Sri Pentas 2, pagi ini.

Sembilan lagi peserta dalam program yang dikendalikan personaliti TV, Ally Iskandar Mohd Manrdzi, itu termasuk Pemenang Program Da'i Musim ketiga, Hamidah Abdul Razak; pelawak Achey; serta Pakar Perunding Obstetriks dan Ginekologi, Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj.

Penonton turut berpeluang mendengar pengacara siri Jejak Rasul, Zainal Ariffin Ismail yang mengalunkan ayat Quran sambil berbasikal dan hafazan daripada pelajar pasca siswazah Malaysia di Perth, Hassan Firdaus Mohd Zaki, melalui aplikasi Skype.

Di PUTRAJAYA, program WORLD#QuranHour di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA) pagi tadi, dimulakan pada jam 4.15 pagi dengan qiamullail, sahur berjemaah, kuliah subuh dan solat sunat dhuha sebelum program membaca Quran secara beramai-ramai dimulakan pada jam 9 pagi.

Ia disambung dengan pelbagai program sehingga jam 8 malam ini, termasuk kuliah dhuha, solat jemaah, zikir dan munajat serta doa berjemaah dan berbuka puasa.

Di Johor Bahru, hari bekerja bukan alasan bagi lebih 2,000 peserta hadir menjayakan WORLD#QuranHour di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato' Onn, di sini, hari ini.

PENGERUSI Rumah Ngaji Johor, Shamsudin Ismail. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

Pengerusi Rumah Ngaji Johor, Shamsudin Ismail, bersyukur atas sambutan memberangsangkan rakyat negeri ini terhadap program berkenaan.

"Selain pelbagai lapisan masyarakat, kita turut menghimpunkan lebih 20 pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) seluruh Johor," katanya.

Di KUALA TERENGGANU, Pengerusi Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (YWUI), Datuk Abd Jalil Ali, berkata penganjuran Program World #QuranHour diharap menjadi penanda aras umat Islam di Malaysia kembali menjadikan al-Quran sebagai sumber pendidikan utama.

"Alhamdulillah, hari ini kita mendengar dan membaca ayat suci al-Quran selama setengah jam dan mendengar tafsiran serta tadabbur (memahami) al-Quran selama setengah jam," katanya yang ditemui selepas WORLD #QuranHour di sini, hari ni,

Di IPOH, Pertubuhan Wanita Prihatin Perak (PWPP) menganjurkan aktiviti tadarus al-Quran di Masjid Jamek Kampung Melayu Sungai Rapat, di sini sempena program WORLD#QuranHour.

Program bermula pada jam 8 pagi itu dihadiri kira-kira 200 peserta dari berbagai badan bukan kerajaan (NGO) di sekitar daerah Kinta.

WORLD#QuranHour turut diadakan di Taiping, Teluk Intan, Kuala Kangsar, Sungai Siput, dan Parit.

Di KOTA BHARU, Lebih 7,000 jemaah memenuhi perkarangan Masjid Muhammadi bagi program WORLD#Quranhour mulai jam 8 pagi.

Bacaan ayat suci al-Quran selama satu jam dimulakan oleh Juara Qari Junior 2016 TV3 musim kelima, Ahmad Naufal Fauzi.

TIMBALAN Menteri Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki membaca Al-Quran pada program WORLD#QuranHour di Masjid Muhammadi. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Program turut disertai Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Di ALOR GAJAH, kira-kira 300 penduduk sekitar Parlimen Masjid Tanah menjayakan program WORLD #QuranHour di Masjid As-Salam, Kampung Air Hitam Darat, Masjid Tanah.

Surah Ar-Rahman dipilih untuk dibacakan selama satu jam bermula jam 9 pagi yang dipimpin Imam 1 masjid terbabit, Aziz Mohamad.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Di SEREMBAN, program WORLD#QuranHour di Masjid Negeri disertai 500 hadirin, termasuk 50 anggota polis dan 60 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Peserta dibahagikan kepada 30 kumpulan mengikut juzuk, dan diakhiri dengan acara khatam al-Quran secara serentak.

11 Sep, 2016

0 comment... add one now

Bagaimana Pula Pandangan Anda?