
MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. - Foto Malai Rosmah Tuah
TAWAU: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mengatur gerak enam helikopter tempur ringan jenis MD530G, selain empat helikopter Agusta A109 LOH dilengkapi sistem persenjataan bagi mengukuhkan pemantauan di perairan pantai timur Sabah.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata pesawat pejuang SU-30 MKM dan F/A-18D Hornet akan melakukan rondaan dua kali sebulan di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).
Katanya, khidmat pesawat udara tanpa pemandu (UAV) akan digunakan untuk meningkatkan keupayaan pengawasan dan pengesanan yang memberi penumpuan di sekitar Semporna dan Lahad Datu.
"Pelaksanaan ini adalah antara beberapa inisiatif baharu bagi memperkukuh keselamatan di negeri ini daripada ancaman penculikan dan jenayah lain yang sering berlaku khususnya di perairan pantai timur.
"Inisiatif ini adalah tambahan pelaksanaan pelbagai usaha menyeluruh yang dilaksanakan merangkumi ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM iaitu Tentera Darat, Laut dan Udara," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tawau, di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Tawau merangkap Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan.
Hishammuddin yang juga Naib Presiden UMNO berkata, Tentera Darat merancang menempatkan Briged ESSCOM di FELDA Sahabat, Lahad Datu selain perolehan aset 20 kenderaan perisai pacuan empat roda (Lipan Bara) yang dilengkapi dengan `Gatling gun'.
"Perolehan aset dan kenderaan ini membolehkan pasukan diatur gerak lebih pantas bagi mengawal serta memantau pantai timur Sabah," katanya.
Mengenai insiden penculikan terbaharu di perairan Pom Pom di Semporna, beliau berkata, ATM akan terus bekerjasama rapat dengan agensi keselamatan lain bagi menanganinya.
"Walaupun isu penculikan, penyeludupan dadah dan manusia yang berlaku di sekitar Pantai Timur Sabah ini berada dalam pengurusan tanggungjawab agensi lain, kita akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN)," katanya.
11 Sep, 2016
Bagaimana Pula Pandangan Anda?