World #QuranHour: Rosyam Nor mula berjalan 47.2km promosi program

SELEBRITI tempatan, Datuk Rosyam Nor memulakan misi berjalan kaki sejauh 47.2 kilometer bagi mempromosi program World #QuranHour

SHAH ALAM: Selebriti tempatan, Datuk Rosyam Nor memulakan misi berjalan kaki sejauh 47.2 kilometer bagi mempromosi program World #QuranHour yang bakal berlangsung pada Ahad ini.

Ikon Rumah Ngaji itu bergerak dari Kompleks Kumpulan Karangkraf, Seksyen 15 di sini pada 6.30 pagi tadi diiringi beberapa anggota pertubuhan bukan kerajaan.

Dalam perjalanan berkenaan, beliau akan berhenti di beberapa lokasi, antaranya di Plaza Tol Batu Tiga, Shah Alam dan Masjid Al Taqwa, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.

Perjalanan bakal berakhir di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Gombak kira-kira 4 petang nanti.

Rosyam berkata, beliau bersyukur rancangan untuk berjalan kaki itu mendapat sokongan pelbagai pihak, antaranya Polis Diraja Malaysia dan Yayasan Ummah Ikhlas.

"Saya juga ingin mengajak umat Islam di negara ini dan seluruh dunia untuk meluangkan masa selama sejam pada 9 pagi (Ahad) untuk bersama-sama membaca dan menghayati isi kandungan al-Quran," katanya kepada pemberita sebelum memulakan perjalanan.

Beliau turut berharap amalan membaca al-Quran dijadikan aktiviti harian dan tidak hanya dilakukan pada hari tertentu sahaja.

Kira-kira 6,000 pengunjung dijangka berkumpul di Masjid Sultan Ahmad Shah, UIAM sempena program World #QuranHour, bacaan al-Quran serentak di seluruh dunia selama sejam mulai 9 pagi, Ahad ini.

Program itu kesinambungan inisiatif sejak 2013 menerusi Program #AktifkanRumahNgaji yang kini memiliki 1,000 pusat di seluruh negara yang menawarkan pengajian al-Quran percuma, manakala program #MalaysiaNgaji diadakan pada 29 Jun lalu.

Tarikh 11 September dipilih bagi program World #QuranHour kerana ia bertepatan dengan tarikh 9 Zulhijjah dalam kalendar Islam, ketika jemaah haji melakukan wukuf di Arafah. - BERNAMA

Oleh Mohd Iskandar Ibrahim 08 Sep, 2016

0 comment... add one now

Bagaimana Pula Pandangan Anda?

:) :)) ;(( :-) =)) ;( ;-( :d :-d @-) :p :o :>) (o) [-( :-? (p) :-s (m) 8-) :-t :-b b-( :-# =p~ $-) (b) (f) x-) (k) (h) (c) cheer
click the icon and copy the shortcode
To insert emoticon you must added at least one space before the code.