Suami wanita hamil mangsa keempat Zika

GAMBAR fail, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, Datuk Ayub Rahmat (empat dari kanan) merasmikan Bilik Ujian Saringan Triage, Unit Kecemasan Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar pada 5 September lalu. - Foto Syarafiq Abd Samad

KUALA LUMPUR: Suami kepada wanita hamil yang dijangkiti virus zika dari Taman Desa Harmoni, dekat sini, turut disahkan positif virus berkenaan menjadikannya mangsa keempat Zika di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pesakit terbabit yang hanya mengalami kesan ruam pada 2 September lalu, disahkan positif Zika menerusi ujian makmal. 

"Beliau adalah suami kepada pesakit kes ketiga jangkitan Zika yang sedang hamil dan menetap di Taman Desa Harmoni, Johor.

"Siasatan kementerian menunjukkan pesakit berulang-alik setiap hari untuk bekerja di Singapura. 

"Pesakit tidak mempunyai kontak terdekat lain di Malaysia selain ibu mertua dan isteri," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, pihaknya akan meningkatkan aktiviti pemantauan kawalan vektor di kawasan kediaman pesakit dan semua kawasan yang pernah dikunjunginya di Johor. 

"Sebanyak 445 buah rumah diperiksa, 95 premis dijalankan pemberantasan jentik, 203 premis disembur thermal dan 870 premis disembur Ultra-Low Volume (ULV).

"Inisiatif itu diambil susulan pihak kementerian mendapati kadar pembiakan Aedes di kawasan berkenaan berada di tahap membimbangkan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Datuk Ayub Rahmat, berkata kes itu menjadikan dua kes Zika dicatatkan di Johor.

"Mangsa berusia 25 tahun itu kini sedang menerima rawatan di hospital," katanya. 

Rabu lalu, isteri mangsa berusia 27 tahun yang hamil anak pertama dengan usia kandungan lebih empat bulan disahkan dijangkiti virus zika selepas mengalami demam, ruam dan sakit badan sebelum dirujuk ke hospital kerajaan di Johor.

Oleh Fahmy Azril Rosli 10 Sep, 2016

0 comment... add one now

Bagaimana Pula Pandangan Anda?