
KUALA LUMPUR : Sebarang cadangan atau keputusan pengguguran kandungan dalam kes wanita hamil yang dijangkiti virus Zika tidak harus dilaksanakan secara terburu-buru dan membabitkan segelintir pihak sahaja.
Timbalan Presiden Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMAM), Dr Jamali Wagiman, berkata ia bagi mengelakkan kekeliruan dan ketidakadilan kepada pesaki, termasuk bayi yang dikandung.
Walaupun ada undang-undang dan garis panduan dari Kementerian Kesihatan berkaitan pengguguran kandungan, beliau berkata, instrumen itu adalah panduan umum kepada perubatan profesional.
Jelasnya, pelaksanaan pengguguran kandungan harus dilihat pada keperluan setiap kes dan bersifat individu.
"IMAM mengesyorkan supaya Jawatankuasa Etika Bioperubatan ditubuhkan di peringkat Kementerian Kesihatan, yang dianggotai oleh pakar dari bidang perbidanan, penyakit berjangkit, psikaitari, ahli etika bio dan tokoh agama bertauliah (pejabat mufti atau universiti).
"Mereka (jawatakuasa) akan bersidang mengikut keperluan apabial ada kes. Kaedah ini lebih menepati hasrat bagi memperoleh keputusan secara kolektif, di samping mengiktiraf peranan pakar dari kedua-dua bidang," katanya dalam kenyataan sebentar tadi.
Dr Jamali berkata, cadangan itu dibuat seperti yang dianjurkan surah al-Anbiya', ayat tujuh yang bermaksud: "maka tanyakanlah kepada orang berilmu, jika kamu tidak mengetahui".
Mengulas lanjut, Dr Jamali berkata, keputusan sebegini lebih selamat dan adil buat pesakit serta bayi yang dikandung, selain mengelakkan keputusan bersifat unilateral, sekali gus bercanggah antara amalan perubatan mahupun hukum syariah.
Terdahulu, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata orang Islam boleh menggugurkan kandungan mereka jika dijangkiti virus Zika sehingga memudaratkan kehidupan keluarga serta bayi itu sendiri.
Namun, katanya, perkara itu perlu dirujuk kepada pakar perubatan yang diyakini dan juga ibu bapa supaya memahami hakikat isu ini dengan sebaiknya.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam menerima pandangan itu dan mencadangkan perkara itu dibincangkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan supaya boleh mencapai kata sepakat.
Oleh Fahmy Azril Rosli 10 Sep, 2016
Bagaimana Pula Pandangan Anda?