Perlu pentingkan keselamatan elak diculik - TPM

AHMAD Zahid pada sidang media dengan wartawan Malaysia pada Ahad, untuk mewakili Malaysia pada sesi ke-71 Perhimpunan Agung PBB. - Foto BERNAMA

NEW YORK: Mereka yang tinggal atau berurusan dalam kawasan seliaan Kawalan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESScom) perlu mempunyai sikap bahawa mereka juga bertanggungjawab ke atas keselamatan diri mereka sendiri, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, ini bagi memastikan kumpulan 'kidnap for ransom' tidak mengambil kesempatan ke atas sebarang kealpaan dari segi sikap berhubung keselamatan, di sebalik pemantauan dan kawalan yang dilakukan pasukan keselamatan.

"Mereka hendaklah mempunyai sikap bahawa keselamatan mereka juga adalah tanggungjawab mereka sendiri.

"Mereka harus bertanggungjawab juga dalam membantu pihak berkuatkuasa supaya kumpulan 'kidnap for ransom' tidak ambil kesempatan daripada perjalanan (pergerakan) mereka," kata Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri kepada wartawan Malaysia di sini pada Ahad.

Beliau berada di New York untuk mengetuai delegasi Malaysia pada Sesi ke-71 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Ahmad Zahid ditanya mengenai pembebasan tiga nelayan warga Indonesia pada Sabtu malam yang sebelum itu diculik lima lelaki bersenjata di perairan FELDA Sahabat, Julai lalu.

Lorence Koten, 34, Teo Dorus Kopong, 42, dan Emanuel, 46, diculik kumpulan Abu Sayyaf pada 9 Julai ketika menangkap ikan kira-kira 3.6 batu nautika dari Kampung Sinakut, dekat Lahad Datu.

Ahmad Zahid seterusnya menggesa orang ramai termasuk mereka yang melakukan urusan perdagangan pertukaran barang 'barter trade' supaya berhati hati dan memaklumkan kepada ESSCom bagi memastikan pergerakan mereka melibatkan kawasan atau laluan yang telah ditentukan. -- BERNAMA

Oleh Suzalina Halid 19 Sep, 2016

0 comment... add one now

Bagaimana Pula Pandangan Anda?