
Sebahagian ahli UMNO Pekan dan NGO menunjukkan laporan polis terhadap penganjur Bersih di IPD Pekan di sini, hari ini. - Foto Shahrinnahar Latib
PEKAN: UMNO Bahagian Pekan serta beberapa badan bukan kerajaan (NGO) di sini, hari ini membuat laporan polis dan meminta siasatan segera terhadap penganjur perhimpunan Bersih 5.0.
Sebanyak empat laporan polis dibuat wakil UMNO Bahagian Pekan, Wanita UMNO Pekan, Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA) Pekan dan Kelab Sahabat Setia Najib Razak N87 Parlimen Pekan.
Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pekan, Mohd Zaidin Mohamad, berkata pihak berkuasa perlu mengambil pengajaran daripada penganjuran siri perhimpunan Bersih terdahulu yang banyak merosakkan harta benda serta memudaratkan kehidupan rakyat.
"Kami mendesak polis bertindak terhadap penggerak Bersih dan mendakwa mereka atas nama kecintaan terhadap keamanan," katanya yang ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).
Mohd Zaidin berkata, penganjur Bersih juga secara terang-terangan menghasut rakyat untuk turut serta dalam perhimpunan berkenaan.
"Kami tidak bersetuju dengan penularan budaya demonstrasi jalanan atau perhimpunan sedemikian yang hanya merosakkan mentaliti rakyat khususnya golongan muda. Pihak berkuasa perlu ambil tindakan tegas menangani perhimpunan ini termasuk konvoi yang akan diadakan bermula awal bulan depan," katanya.
Oleh Suzalina Halid 19 Sep, 2016
Bagaimana Pula Pandangan Anda?