5 sekolah dapat pengiktirafan MYPIB

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid menurunkan tandatangan sebagai gimik perasmian pada majlis penyampaian Sijil Pengiktirafan International Baccalaureate World School di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Bahiyah, Alor Setar, hari ini. - Foto BERNAMA

ALOR SETAR: Lima sekolah menengah di negara ini berjaya memperoleh sijil pengiktirafan International Baccalaureate (IB) World School-Middle Years Programme (MYPIB) untuk tempoh lima tahun daripada badan pengiktirafan pendidikan antarabangsa terkemuka, IB Organization.

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Tapang, Samarahan, Sarawak memperoleh pengiktirafan itu pada 23 Mac lalu; Kolej Melayu Kuala Kangsar, Perak (22 April); SMK Sultanah Bahiyah, Alor Setar (21 Jun); SMK Putrajaya Presint 9 (2), Putrajaya (28 Jun) dan SMK Pantai, Labuan (21 Julai).

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata melalui pengiktirafan ini, lebih 5,000 pelajar Tingkatan Satu hingga Lima di lima sekolah itu berpeluang mengikuti model pembelajaran dengan pendekatan MYPIB yang berteraskan kurikulum 'concept-driven' ke arah menjadikan mereka kreatif, kritis dan berfikiran reflektif.

Beliau berkata, program itu mempunyai misi untuk membangunkan generasi muda yang berpengetahuan, berfikiran aras tinggi, bersifat ingin tahu, penyayang serta berfikiran antarabangsa yang dilaksanakan di bawah inisiatif Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

"IB diamalkan di lebih 150 negara dan ia pengiktirafan yang dahulunya hanya diterima sekolah elit swasta yang menawarkan peluang pendidikan untuk golongan tertentu. Kini ia berjaya dikembangkan di sekolah harian dan asrama.

"Pencapaian ini amat membanggakan kerana lima sekolah ini antara 28 sekolah kerajaan di lima negara rantau Asia-Pasifik yang diiktiraf sebagai IB World School," katanya selepas menyampaikan sijil pengiktirafan MYPIB kepada wakil lima sekolah terbabit di SMK Sultanah Bahiyah, hari ini.

Beliau berkata, kementeriannya dengan kerjasama Agensi Inovasi Malaysia (AIM) sudah merintis program MYPIB pada 2012 untuk dilaksanakan di 10 sekolah menengah seluruh negara dengan misi mendapat pengiktirafan IB World School.

Katanya, lima lagi sekolah dalam proses mendapat pengiktirafan sama secara berperingkat ialah Kolej Tunku Kurshiah, Negeri Sembilan; SM Sains Tengku Muhammad Faris Petra, Kota Bharu, Kelantan; SMK Seri Tualang, Temerloh, Pahang; SMK Dato' Sheikh Ahmad, Arau, Perlis dan SMKA Sheikh Abd Malek, Kuala Terengganu.

Oleh Suzalina Halid 19 Sep, 2016

0 comment... add one now

Bagaimana Pula Pandangan Anda?

:) :)) ;(( :-) =)) ;( ;-( :d :-d @-) :p :o :>) (o) [-( :-? (p) :-s (m) 8-) :-t :-b b-( :-# =p~ $-) (b) (f) x-) (k) (h) (c) cheer
click the icon and copy the shortcode
To insert emoticon you must added at least one space before the code.