KUALA LUMPUR: Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) menyaran agar disemak semula langkah keselamatan murid di sekolah.
Presidennya, Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, berkata ia tidak mencukupi dengan hanya menempatkan pengawal keselamatan dalam memantau pergerakan murid semasa memasuki dan keluar dari kawasan sekolah dan sekitarnya.
"Perlu diambil kira keperluan untuk mengadakan jejantas agar murid lebih mudah menyeberang memasuki dan keluar daripada kawasan sekolah," katanya.
Beliau diminta mengulas kejadian murid dilanggar kenderaan di depan kawasan sekolah di Perak dan Terengganu beberapa hari lalu.
Mohamad Ali berkata, perlu juga diadakan ruang menunggu khas di dalam kawasan sekolah atau lorong yang selamat untuk ibu bapa atau bas sekolah menurun atau mengambil murid-murid. - BERNAMA
23 Sep, 2016
Bagaimana Pula Pandangan Anda?