AHMAD (dua dari kanan) merasmikan Karnival MAHA Makanan Popular di Karnival Mybest Buy di RTC Kelantan, Bandar Baru Tunjong, Kota Bharu, hari ini. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
KOTA BHARU: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan lebih agresif menggalakkan rakyat Malaysia memakan buah-buahan tempatan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Ishak, berkata usaha itu akan dilakukan menerusi pelbagai program dan kempen termasuk penganjuran Karnival MyBest Buy dan Kempen Lebihkan Makan Buah-Buahan Tempatan di seluruh negara.
Beliau berkata, sebanyak 54 kawasan pemasaran hasil pertanian FAMA di seluruh negara menganjurkan program itu bagi meningkatkan minat rakyat makan buah tempatan.
Katanya, kajian mendapati rakyat Malaysia hanya makan 63 kilogram (kg) buah-buahan setahun berbanding 400 kg yang disaran Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).
"Kita berharap sasaran rakyat makan sekurang-kurangnya 150 kg buah setahun khususnya hasil tempatan, akan tercapai sehingga memenuhi sasaran WHO iaitu 400 kg setahun.
"Melalui program Mybest Buy, rakyat dapat menikmati buah tempatan pada harga lebih rendah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Mybest Buy, Kempen Lebihkan Makan Buah-buahan 2016 dan Pemilihan Sajian Makanan Popular Sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong di sini, hari ini.
Program Mybest Buy itu diadakan dua hari sehingga esok dengan pelbagai aktiviti seperti pertandingan mencari harta karun, makan tembikai, limau madu dan pertandingan mewarna untuk kanak-kanak serta pesta makan durian, rambutan, duku dan manggis dengan bayaran RM5.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah FAMA (Pembangunan Usahawan), Ab Razak Ab Majid dan Pengarah Kanan Kompleks Pemasaran, Mohd Ariffin Awang.
23 Sep, 2016
Bagaimana Pula Pandangan Anda?