Program wakaf perlu ditingkatkan

KETUA Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah. - Foto Fariz Iswadi Ismail

PUTRAJAYA: Pelaksanaan program wakaf sebagai salah satu kaedah untuk membangunkan ekonomi umat Islam perlu ditingkatkan ke tahap yang lebih baik bagi memperluaskan peranannya.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, berkata wakaf tanah dan kewangan di negara ini semakin meningkat, namun masyarakat Islam belum manfaatkan sepenuhnya seperti negara Islam lain.

"Malaysia adalah peneraju dunia dalam sektor kewangan Islam tetapi dalam bidang ini (wakaf) kita ketinggalan, banyak lagi yang boleh kita lakukan.

"Kita mempunyai pelbagai kaedah pelaksanaan program wakaf terutama dari segi hartanah dan kewangan, namun ia perlu diperluaskan kepada pembinaan wakaf pusat pendidikan serta prasarana kesihatan.

"Ada beberapa Majlis Agama Islam Negeri bergiat cergas dalam pelaksanaan amalan wakaf dan ia perlu dijadikan contoh kepada institusi lain bagi membantu menjana ekonomi negara," katanya pada sidang media mengenai Persidangan Antarabangsa Ekonomi dan Kewangan Islam (ICIEF) Ke-11 di sini hari ini.

Persidangan bertema 'Pemikiran Semula Ekonomi dan Kewangan Islam: Ke Arah Pembangunan Inklusif Lagi Mampan,' dijadual berlangsung mulai 11 hingga 13 Oktober ini.

Oleh Zanariah Abd Mutalib 15 Sep, 2016

0 comment... add one now

Bagaimana Pula Pandangan Anda?