AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Ab Aziz Yusof (kiri) meninjau permasalahan dihadapi Orang Asli Kampung Jedip di Lojing. - Foto Ramli Ibrahim
GUA MUSANG: Lebih 600 penduduk di Kampung Jedip, Lojing, dekat sini, hidup dalam ketakutan kerana diancam hakisan setiap kali hujan lebat, berikutan kawasan kampung berkenaan digondol untuk memberi laluan kepada aktiviti pertanian.
Kegiatan menggondol bukit di kawasan itu semakin giat dilakukan oleh sebuah syarikat sejak Februari lalu, untuk membuka ladang sayur.
Tanah berkenaan dipercayai disewa daripada Tabung Amanah Tok Kenali tanpa menjaga keselamatan Orang Asli.
Tinjauan mendapati beberapa bukit di sekitar Kampung Jedip di tepi jalan utama ke Lojing, digondol tanpa menghiraukan keselamatan penduduk yang berdepan hakisan dan pencemaran sungai.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JKKKOA) Pos Brooke, Isa Alang, berkata penduduk bukan saja berhadapan masalah hakisan, malah bekalan air turut terputus apabila kawasan tadahan air dimusnahkan, selain Sungai Belatop menjadi kering.
"Masalah pembukaan tanah tinggi yang tidak terkawal itu sudah dirujuk kepada Ketua Jajahan Kecil Lojing baru-baru ini, tetapi tidak ada tindakan untuk mengatasinya.
"Syarikat terbabit berjanji ketika perjumpaan itu untuk mencari sumber air bukit yang baharu selepas kawasan tadahan air bukit sedia ada dimusnahkan. Bagaimanapun, sehingga kini syarikat itu tidak tunaikan janji menyebabkan penduduk terpaksa mencari sumber air lain," katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Ab Aziz Yusof, yang meninjau permasalahan dihadapi Orang Asli Kampung Jedip, menyifatkan kegiatan berkenaan serius.
Beliau mahu pihak berwajib membuat penyiasatan dan mengambil langkah segera untuk mengatasi masalah.
Oleh Zanariah Abd Mutalib 15 Sep, 2016
Bagaimana Pula Pandangan Anda?