USM jalin kerjasama akademik dengan Universiti Glasgow

NAIB Canselor Universiti Sains Malaysia, Professor Datuk Dr Omar Osman (kiri) bersama Naib pengetua (inovasi akademik dan pendidikan) Universiti Glasgow, Professor Frank Coton sempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Universiti Sains Malaysia dengan University Glasgow, Scotland di Universiti Sains Malaysia (USM). - Foto Zulaikha Zainuzman

GEORGETOWN: Universiti Sains Malaysia (USM) menjadi institusi pengajian tinggi pertama negara menjalin kerjasama akademik dengan Universiti Glasgow, Scotland.

Naib Canselor USM, Prof Datuk Dr Omar Osman, berkata kerjasama itu membabitkan program pertukaran lima pelajar setahun bagi tempoh tiga tahun bermula tahun ini dan jumlah itu akan ditingkatkan berdasarkan keperluan.

Katanya, kerjasama itu tercapai setelah USM bekerjasama dalam bidang penyelidikan dengan universiti berkenaan sejak lima tahun lalu.

"Kami juga dalam perancangan mewujudkan program berkembar bersama Universiti Glasgow iaitu dua tahun pengajian di USM dan seterusnya di Scotland," katanya.

Omar bercakap kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Glasgow untuk kerjasama akademik itu di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Omar mewakili USM manakala Universiti Glasgow diwakili Dekan Antarabangsanya, Prof Frank Coton.

Sementara itu, Coton berkata, pihaknya sangat teliti dalam pemilihan rakan kerjasama dan USM dipilih kerana aktif dan mampu menghasilkan banyak idea produktif untuk menjana peluang bersama.

Oleh Zanariah Abd Mutalib 15 Sep, 2016

0 comment... add one now

Bagaimana Pula Pandangan Anda?