JPS perlu kajian baharu fenomena air laut pasang besar

SABAK BERNAM: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) perlu membuat kajian menyeluruh fenomena air laut pasang besar berdasarkan kepada kenaikan paras semasa serta perubahan cuaca global.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Hamim Samsuri, berkata ia berikutan fenomena pemanasan global menyebabkan kenaikan paras air yang lebih tinggi.

"Kalau dulu, ketinggian benteng pada paras 3.5 meter ini sudah cukup, tetapi fenomena pemanasan global mengakibatkan kenaikan paras air yang lebih tinggi.

"Atas dasar itu, kita tidak pasti sama ada ketinggian benteng pada masa ini bersesuaian untuk menghadapi fenomena sama pada masa depan," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan dan tinjauan di kawasan benteng pecah di Sungai Apong, di sini.

Hamim berkata, pada masa ini, benteng sedia ada mengalami pemendapan semula jadi, menyebabkan ketinggiannya merosot menjadi antara 3 hingga 2.8 meter.

Pada masa sama, katanya, pertembungan ombak luar biasa di laut dan hujan ketika negara mengalami fenomena air pasang besar minggu lalu dan awal minggu ini mengakibatkan beberapa kawasan rendah di negeri ini ditenggelami air termasuk memaksa penduduk berpindah ke pusat pemindahan banjir.

Bagaimanapun, Hamim berkata kejadian itu dianggap tidak terlalu serius memandangkan semua 309 pintu air berfungsi dengan baik.

"Kita kena terima hakikat bahawa benteng yang dibina sejak 10 tahun ini masih kukuh. Kalau tak kukuh, dah lama habis.

"Kita nak lihat sejauh mana ia serius supaya kita boleh cadangkan kepada Kerajaan Persekutuan mengenai perlunya kerja-kerja menaik taraf semula (ketinggian) benteng ini untuk berdepan dengan kemungkinan air pasang besar pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata, peruntukan membabitkan anggaran kasar sebanyak RM300 juta diperlukan bagi kerja-kerja meninggikan benteng selain yang rosak di sepanjang 70 kilometer persisiran pantai Selangor dari Sabak Bernam hingga Kuala Langat.

23 Sep, 2016

0 comment... add one now

Bagaimana Pula Pandangan Anda?