100 biasiswa bagi wanita Islam dari negara konflik

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom (kiri) menyampaikan biasiswa OIC-Malaysia kepada wakil pelajar Palestin, Nada Amin Almassri (kanan) pada Majlis Pembukaan Sidang Kemuncak Wanita Islam Antarabangsa di Dewan Merdeka, PWTC. Turut bersama, Timbalan Menteri Keluarga dan Polisi Sosial Turki, Mehmet Ersoy (dua dari kiri). - Foto Adi Safri

KUALA LUMPUR: Kerajaan menawarkan 100 biasiswa bernilai RM15 juta bagi membantu wanita Islam dari negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang dilanda konflik dan perang melanjutkan pengajian di negara ini.

Program Sokongan Akademik OIC-Malaysia dibiayai sepenuhnya 20 universiti awam (UA) tempatan itu, menawarkan peluang belajar kepada wanita terbabit dalam pelbagai bidang membabitkan pengajian ijazah sarjana dan doktor falsafah (PhD).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata program itu diharap membolehkan golongan sasar membina semula negara mereka selepas tamat pengajian.

"Ini adalah sumbangan Malaysia dalam usaha menerajui dan membantu umat Islam yang dilanda kesukaran berikutan pergolakan dan konflik di negara mereka dengan memberi bantuan menerusi bidang pendidikan.

"Kajian membuktikan pendidikan adalah cara paling berkesan membina masyarakat baharu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sidang Kemuncak Wanita Islam Antarabangsa (WISE) 2016 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Panel Isu Semasa Wanita Islam (PISWI) yang juga Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamarudin.

Jamil berkata, setakat ini 11 pelajar dari Syria, Yaman, Iraq dan Palestin memulakan pengajian menerusi program berkenaan di UIAM, Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Antara bidang pengajian ditawarkan adalah kejuruteraan awam, pendidikan, kaunseling, ekonomi, perundangan dan sains sosial.

"OIC turut berperanan menyelaras dan memproses calon pelajar ke negara ini," katanya.

Sementara itu, Zaleha berkata, program itu diharap akan mewujudkan lebih 1,000 peluang biasiswa kepada calon wanita dari negara OIC dalam tempoh 10 tahun akan datang.

"Program ini akan dilanjutkan ke negara tuan rumah WISE tahun seterusnya untuk dilaksanakan di negara mereka.

"Turki yang akan menjadi tuan rumah WISE 2017, diharap dapat mewujudkan lebih banyak sokongan dalam akademik kerana mereka memiliki 176 universiti," katanya.

23 Sep, 2016

0 comment... add one now

Bagaimana Pula Pandangan Anda?