NAIB Setiausaha Wanita Gerakan Pulau Pinang, Shirly Teoh (kanan) menunjukkan wayar elektrik yang terdedah membahayakan orang ramai terutama kanak-kanak di Padang Kota Lama di sini, ketika sidang media pelbagai kerosakan kemudahan awam di tempat tumpuan pelancong itu. - Foto Danial Saad
GEORGETOWN: GERAKAN Wanita Pulau Pinang menempelak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang dilihat gagal menyelenggara kawasan tumpuan pelancong di Padang Kota di sini, dengan baik.
Naib Setiausahanya, Shirley Teoh, berkata pihaknya mendapati beberapa kerosakan didapati tidak diperbaiki hingga mencacatkan pemandangan.
"Kerosakan ini bukan sahaja memberi imej buruk kepada negeri tetapi juga menjejaskan keselamatan pengunjung.
"Segala kerosakan di sekitar kawasan ini boleh menyebabkan kemalangan terhadap pengguna terutamanya pada waktu malam," katanya pada sidang media di Padang Kota, di sini, hari ini.
Kerosakan dikesan di taman permainan di Esplanade dan laluan pejalan kaki, selain tembok didapati uzur manakala penutup longkang dicuri.
Shirley berkata, pihaknya berharap MBPP mengambil tindakan segera menjelang cuti sekolah akhir tahun ini.
Katanya, Pulau Pinang kerap menerima bilangan kehadiran pelancong yang luar biasa pada cuti sekolah dan hari kelepasan am.
"MBPP bertanggungjawab memastikan kawasan ini selamat dan bersih untuk pengunjung.
"Penyeliaan berterusan wajar dilaksanakan untuk memastikan kawasan tumpuan pelancong ini berada dalam keadaan baik," katanya.
23 Sep, 2016
Bagaimana Pula Pandangan Anda?