MENTERI Luar, Datuk Seri Anifah Aman. - Foto Asyraf Hamzah.
NEW YORK: Malaysia mengingatkan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bahawa industri penerbangan global semasa berdepan ancaman baharu keganasan bersandarkan beberapa tragedi serta serangan kebelakangan ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata serangan bom di Lapangan Terbang Antarabangsa Brussels, Belgium dan Lapangan Terbang Antarabangsa Ataturk, Turki awal tahun ini, membuktikan ancaman yang mengganggu industri penerbangan awam.
Katanya, tragedi menimpa dua pesawat milik syarikat penerbangan Malaysia iaitu MH370 yang berakhir di Lautan Hindi pada 8 Mac 2014 dan MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine pada 17 Julai tahun sama, menjadikan Malaysia sedar cabaran dihadapi dalam industri penerbangan awam.
"Dengan dua tragedi penerbangan (MH370 dan MH17) berturut-turut dalam tempoh empat bulan, Malaysia sedar cabaran yang dihadapi dalam menangani persepsi negatif dan kehilangan keyakinan.
"Pengalaman mengendalikan tragedi penerbangan MH370 dan MH17 patut menyedarkan kita bahawa rangkaian penerbangan global adalah sasaran yang menarik elemen keganasan antarabangsa," katanya berucap pada taklimat peringkat tinggi Majlis Keselamatan bertajuk `Ancaman pengganas terhadap keselamatan penerbangan' sempena Perhimpunan Agung PBB (UNGA) ke-71 di sini, hari ini.
Oleh Abdul Razak Raaff dan Nik Sukry Ramli 23 Sep, 2016
Bagaimana Pula Pandangan Anda?