PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak beramah mesra bersama peneroka FELDA yang hadir pada Majlis Sambutan Hari Peneroka Kebangsaan 2016 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, pagi ini. - Foto Luqman Hakim Zubir
MARAN: Datuk Seri Najib Razak tiba di perkarangan Stadium Tun Razak di sini hari ini untuk merasmikan sambutan Hari Peneroka Felda 2016 peringkat kebangsaan.
Ketibaan Perdana Menteri kira-kira jam 9.30 pagi disambut Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim dan Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Samad.
Pada majlis itu, perdana menteri dijadual menyampaikan Anugerah Keceriaan Kampung Felda yang menawarkan hadiah berjumlah RM1 juta.
Najib juga akan menyampaikan hadiah kepada pemenang Anugerah Khidmat Bakti kepada 10 orang bekas peneroka yang telah berkhidmat cemerlang.
Anugerah lain yang akan disampaikan ialah Anugerah Masjid Contoh dan Tokoh Imam yang disenarai pendek daripada 263 masjid Felda atau masjid di bawah pentadbiran Felda.
Lebih 15,000 peneroka Felda dari seluruh negara hadir menyambut Hari Peneroka Felda Kebangsaan 2016 kali ini. - BERNAMA
Oleh Abdul Razak Raaff dan Nik Sukry Ramli 23 Sep, 2016
Bagaimana Pula Pandangan Anda?