KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebentar tadi mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat berserta angin kencang di Pulau Pinang dan daerah Kerian, Larut, Matang serta Selama di Perak dijangka berterusan hingga pagi ini.
Laman web jabatan itu yang dikemas kini jam 6.27 pagi ini melaporkan keadaan sama turut diramalkan berlaku daerah Kuantan di Pahang, Marang di Terengganu dan Bahagian Mukah di Sarawak.
Bagi perairan negara, MetMalaysia mengeluarkan amaran ribut petir menyeluruh di perairan Pulau Pinang, Kedah, Perak, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sarawak (Kuching, Rejang, Mukah, Bintulu dan Miri) dan Sabah (Pantai Barat dan Sandakan) dijangka berterusan hingga pagi ini.
"Keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang mencecah 50 kilometer sejam (km/j) dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian hingga 3.5 meter serta berbahaya kepada bot kecil," kata jabatan itu menerusi laman web yang dikemas kini jam 5.57 pagi ini.
Sementara itu, berdasarkan tinjauan cuaca hingga Selasa ini, Taufan Malakas mulai lemah dan menjadi satu kawasan tekanan rendah selepas membadai Selatan Jepun semalam dan dijangka tamat sepenuhnya hari ini.
"Ketika ini, dua sistem bertekanan rendah terbentuk di kawasan serantau negara kita dan dijangka menjadi semakin aktif. Satu daripadanya di Laut China Selatan, Tenggara Vietnam dan kedua, di bahagian Timur Filipina yang dijangka bertukar menjadi ribut tropika Sabtu ini.
"Sehubungan itu, kawasan serantau negara kita dijangka berterusan menerima tiupan angin dari arah Barat dan Barat Laut dengan kelajuan 10-30 km/j untuk negeri-negeri di Semenanjung dan tiupan angin dari arah Barat Daya dengan kelajuan 10-40 km/j di Sabah dan Sarawak," katanya.
Berdasarkan corak tiupan angin seperti ini, hujan di satu dua tempat masih boleh berlaku di negeri-negeri Pantai Barat Semenanjung dan kawasan pantai negeri Sarawak serta di bahagian Barat Sabah pada sebelah pagi.
Sementara hujan dan ribut petir di beberapa tempat dijangka berlaku di negeri-negeri Pantai Timur dan kawasan pedalaman negeri-negeri Pantai Barat Semenanjung, bahagian Tengah dan Timur Sarawak serta bahagian pedalaman dan timur Sabah pada sebelah petang dan awal malam.
Oleh Shaarani Ismail 22 Sep, 2016
Bagaimana Pula Pandangan Anda?