SABIHIS Manab (kiri) bersama isteri, Saiyah Selamat (kanan) mengemas peralatan perabot rumahnya yang musnah selepas banjir akibat fenomena air pasang besar di Jalan Bukit Kerang, Kampung Tok Muda, Kapar. - Foto Faiz Anuar
KUALA LUMPUR: Beberapa kawasan di Kedah dan Perak terutama kawasan tepi pantai masih lagi terjejas banjir berikutan fenomena air pasang besar yang berlaku di negeri itu.
Di KEDAH, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 991 orang berbanding 934 orang semalam dan mereka ditempatkan di enam pusat pemindahan.
Pegawai Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuala Muda, Left Muda Pertahanan Awam Azahar Ahmad, berkata sehingga 8 pagi ini, pusat pemindahan itu menempatkan 242 keluarga dari lapan kampung sekitar daerah berkenaan.
Beliau berkata, 267 orang daripada 78 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan Seri Kuala; 262 daripada 64 keluarga di Rumah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Meriam; dan 222 orang daripada 47 keluarga di Pusat Komuniti Sihat Perkasa Negara (Kospen) Kampung Sungai Pial.
Katanya, tiga lagi pusat pemindahan adalah di Dewan Kampung Paya yang menempatkan 94 orang daripada 19 keluarga; Surau Kampung Sungai Yu seramai 74 orang daripada 19 keluarga; dan Dewan Telok Amboi dengan 72 orang daripada 15 keluarga.
Di PERAK, jumlah penduduk yang ditempatkan di dua pusat pemindahan iaitu di Pantai Remis dan Teluk Intan setakat 8 pagi tadi kekal 90 orang.
Seramai 17 orang daripada tiga keluarga ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Tapak Semenang, Teluk Intan; manakala 73 orang daripada 18 keluarga berada di dewan orang ramai Kampung Panchor, Pantai Remis.
Pegawai Bencana Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Manjung, Shamsur Shauddin berkata pusat pemindahan itu mungkin ditutup tengah hari ini memandangkan air banjir telah surut.
Sementara itu, Setiausaha Pengurusan Bencana Daerah Bagan Datoh, Mohd Zaidi Ahmad, berkata banjir di Teluk Intan semakin pulih, namun cuaca agak mendung pagi ini. - BERNAMA
Oleh Shaarani Ismail 22 Sep, 2016
Bagaimana Pula Pandangan Anda?