Viva Palestina agih daging korban di Gaza

KUALA LUMPUR: Viva Palestina Malaysia (VPM) mengagihkan 650 kilogram daging lembu dan biri-biri kepada golongan fakir miskin di Gaza sempena sambutan Aidiladha yang disambut di seluruh dunia hari ini.

Program agihan daging korban bernilai RM25,000 itu sebahagian program kemanusiaan badan bukan kerajaan (NGO) bagi meringankan beban warga Palestin di Gaza yang dikepung rejim zionis Israel.

Pengerusinya, Datuk Dr Musa Mohd Nordin, berkata daging korban itu akan diagihkan kepada 650 penerima fakir miskin di Gaza City dan utara Gaza.

"Agihan daging korban adalah program tahunan kita kerana daging memang mahal di sana," katanya kepada BH di sini sebentar tadi bagi mengulas program terkini VPM di Gaza.

Kos hidup di Gaza tinggi ekoran sekatan ekonomi dan kepungan Israel ke atas Semenanjung Gaza sejak tahun 2007, menyebabkan lebih 1.8 juta penduduknya mengalami krisis kemanusiaan.

Sementara itu, sebuah lagi NGO iaitu Carefugees mengagihkan daging korban membabitkan 12 ekor lembu dan 33 ekor biri-biri kepada pelarian Palestin, Afghanistan, Rohingya, Somalia dan Sudan di Malaysia.

Agihan daging korban itu antaranya dilakukan di Klang, Gombak, Batu Caves dan Ampang.

Pengerusi Carefugees, Azra Banu, berkata pihaknya berterima kasih kepada pihak yang menyumbang menjayakan kempen Carefugees bagi membantu golongan memerlukan.

12 Sep, 2016

0 comment... add one now

Bagaimana Pula Pandangan Anda?