TAIWAN: Pentadbiran bandar raya Taipei yakin pertumbuhan pelancong Malaysia ke bandar raya ini mencapai sehingga 20 peratus menjelang akhir tahun ini, dengan menyasarkan lebih ramai pelawat Islam berkunjung ke Taiwan.
Pesuruhjaya Jabatan Maklumat dan Pelancongan Pentadbiran Bandaraya Taipei, Yu-Yen Chien, berkata seramai 430,000 pelancong Malaysia datang ke Taiwan pada tahun lalu, dengan 370,000 daripadanya berkunjung ke Taipei.
Katanya, jumlah pelancong Malaysia ke negara itu masih tidak signifikan dan pihaknya kini aktif merealisasikan pelancongan mesra Muslim bagi memastikan sasaran itu tercapai, khususnya bagi menarik lebih ramai pelancong Islam.
"Taiwan kini memiliki hampir 80 restoran dan hotel yang menepati piawaian halal dengan 29 daripadanya berada di Taipei.
"Kami sudah mula menambah hotel dan restoran yang menepati piawaian halal sejak tahun lalu dan menyasarkan pertambahan sehingga 36 restoran serta hotel memperoleh pensijilan halal di bandar Taipei.
"Kami menyedari potensi besar yang dimiliki melalui pelancongan mesra Muslim dan giat bekerjasama dengan pelbagai pihak, khususnya industri makanan untuk menyertai inisiatif pelancongan mesra Muslim di negara ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi taklimat bersama media Malaysia di Dewan Bandaraya Taipei di Taipei, hari ini.
Turut hadir, Pegawai Khas Kementerian Pengangkutan dan Komunikasi Taiwan, Alice Ko dan wakil Malindo Air, Julia Liang.
Chien berkata, pensijilan halal di negara itu dikendalikan Persatuan Cina Muslim dan Persatuan Taipei Grand Mosque yang menetapkan peraturan ketat untuk mendapatkannya bagi memastikan sijil halal diperoleh menepati syariah.
Beliau berkata, pihaknya juga sedang bekerjasama dengan kedai serba guna untuk menyediakan lebih banyak produk halal bagi memudahkan pelancong Islam.
"Kami juga menambah lebih banyak fasiliti untuk kegunaan orang Islam seperti ruang solat dan tempat mengambil wuduk di lokasi tertentu di bandar Taipei termasuk di bangunan Dewan Bandaraya Taipei," katanya.

12 Sep, 2016
Bagaimana Pula Pandangan Anda?
click the icon and copy the shortcode
To insert emoticon you must added at least one space before the code.