
NAIB Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Zakaria Kasa.
TANJUNG MALIM: Seramai 52 siswazah bakal menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada Istiadat Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ke-18 yang bermula esok.
Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Zakaria Kasa berkata, jumlah graduan PhD pada kali ini adalah yang paling ramai dalam sejarah penubuhan universiti berkenaan.
"Peningkatan jumlah graduan ini adalah usaha berterusan Institut Pengajian Siswazah (IPS) dalam mencapai sasaran kualiti iaitu 20 peratus pelajar tamat pengajian daripada enrolmen semasa," katanya ketika berucap pada majlis minum petang graduan siswazah sempena Istiadat Konvokesyen UPSI ke-18, di sini hari ini.
Istiadat Konvokesyen UPSI ke-18 akan berlangsung mulai esok sehingga 24 Sept di Dewan Besar, UPSI Kampus Sultan Azlan Shah Proton City di sini.
Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim yang juga Canselor universiti tersebut, berkenan untuk berangkat merasmikan pembukaan istiadat konvokesyen itu, esok.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor, Inovasi dan Penyelidikan UPSI Prof Datuk Dr Noraini Idris berkata sejak penubuhan IPS pada 1999, jumlah enrolmen pelajar terus bertambah setiap tahun dan terkini seramai 6,304 orang.
"Daripada jumlah itu, seramai 5,339 mengikuti pelbagai program sarjana, manakala 965 pelajar mengikuti program Doktor Falsafah.
"Dengan sejumlah 953 graduan bakal menaiki pentas pada istiadat konvokesyen tahun ini, ia satu pencapaian membanggakan apabila 52 graduan adalah daripada program PhD, iaitu peningkatan berbanding 45 orang tahun lepas," katanya.
Pada majlis itu, Pengerusi Lembaga Pengarah UPSI Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin menyampaikan Anugerah Bitara kepada lapan pelajar yang menamatkan pengajian PhD dalam tempoh tiga tahun, serta Anugerah Penerbitan kepada enam bakal graduan yang menghasilkan banyak penerbitan berimpak tinggi. - BERNAMA
19 Sep, 2016
Bagaimana Pula Pandangan Anda?