UPM raih dua anugerah emas, 2 anugerah khas di Toronto

DUA inovasi UPM yang dipilih untuk memenangi anugerah itu ialah 'Smart Money Kit: Bright Kids Smart Money' dan 'Quantum Communication Simulator'(QuCS).

TORONTO: Dua produk penyelidikan Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya meraih dua anugerah emas dan dua anugerah khas di International Invention Innovation Competition In Canada 2016 yang diadakan di North York Memorial Community Hall, Toronto, baru-baru ini.

Dua inovasi UPM yang dipilih untuk memenangi anugerah itu ialah 'Smart Money Kit: Bright Kids Smart Money' dan 'Quantum Communication Simulator'(QuCS).

Pasukan UPM terdiri daripada pensyarah Fakulti Ekologi Manusia, Prof Madya Dr Mohamad Fazli Sabri, pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah, Nurhayatul Nira Ramli dan Prof Madya Dr Zuriati Ahmad Zukarnain dari Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM).

Dr Mohamad Fazli dan Nurhayatul Nira menghasilkan produk pendidikan kewangan 'Smart Money Kit: Bright Kids Smart Money' iaitu satu set kit yang mengandungi 10 permainan interaktif sebagai satu inisiatif untuk meningkatkan kesedaran masyarakat berkaitan amalan pengurusan kewangan yang bijak dan berhemah.

Dr Zuriati pula membangunkan satu sistem perisian berasaskan web yang dikenali sebagai 'Quantum Communication Simulator'(QuCS) yang dapat membantu mempercepatkan dan mempermudahkan proses pemodelan eksperimen kuantum yang sebenar.

Pertandingan inovasi berprestij itu dianjurkan oleh Toronto International Society of Innovation and Advanced Skills (TISIAS) dengan kerjasama International Federation of Inventors' Association (IFIA) dan World Invention Intellectual Property Associations (WIIPA).

Pertandingan ini disertai lebih 40 negara di seluruh dunia.

Daripada Mohd Anwar Patho Rohman 20 Sep, 2016

0 comment... add one now

Bagaimana Pula Pandangan Anda?