Malaysia mahu dunia tingkat tekanan terhadap Israel

MENTERI Luar, Datuk Seri Anifah Aman, ketika berucap pada Mesyuarat Enam Anggota Jawatankuasa Mengenai Palestin sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) ke-71 di New York.

NEW YORK: Malaysia berpegang teguh kepada prinsip bahawa komuniti antarabangsa perlu meningkatkan tekanan terhadap rejim Israel jika mahu membantu menamatkan dasar pendudukan secara haram rejim itu di Palestin.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata tekanan itu harus diperhebatkan menerusi pelbagai saluran yang ada khasnya dalam aspek undang-undang, diplomatik dan ekonomi.

Katanya, Malaysia turut mengutuk sekeras-kerasnya keganasan dilakukan rejim Israel terhadap penduduk Palestin termasuk peningkatan penguasaan pihak berkuasa rejim di kawasan sekitar Masjid al-Aqsa selain cubaan mengubah status undang-undang di Jerusalem.

"Tindakan konkrit perlu diambil bagi menangani situasi ini dengan segera. Kita tidak boleh membenarkan rejim Israel terus melancarkan serangan terhadap rakyat Palestin.

"Komuniti antarabangsa perlu bersatu jika mahu menghentikan rejim Israel daripada terus melakukan jenayah ini yang menyebabkan penderitaan amat dahsyat terhadap rakyat Palesin," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Mesyuarat Enam Anggota Jawatankuasa Mengenai Palestin sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) ke-71 di sini, hari ini.

Mesyuarat itu dipengerusikan Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Iyad Ameen Madani.

Anifah berkata, dasar menguasai secara haram diamalkan rejim Israel hari ini menjadi dinding penghalang utama kepada rundingan damai antara dua pihak yang berkepentingan.

Katanya, Malaysia amat yakin banyak usaha perlu dipertingkatkan untuk mencapai rundingan damai termasuk memastikan dasar penyelesaian dua negara kekal menjadi pendekatan paling praktikal kepada dua pihak.

"Dalam hal ini, Malaysia amat mengalu-alukan usaha Perancis melancarkan semula inisiatif politik bagi menyokong proses damai di Asia Barat menerusi Persidangan Damai Asia Barat di Paris pada 3 Jun lalu.

"Ia bertujuan mewujudkan gabungan kerjasama antarabangsa untuk menaja proses politik secara lebih meluas ke arah pelaksanaan penyelesaian dua negara," katanya.

Anifah berkata, Malaysia akan terus memberikan sokongan dan bantuan kepada Palestin bagi mengembalikan semula kebebasan serta hak rakyatnya.

Daripada Mohd Anwar Patho Rohman 20 Sep, 2016

0 comment... add one now

Bagaimana Pula Pandangan Anda?

:) :)) ;(( :-) =)) ;( ;-( :d :-d @-) :p :o :>) (o) [-( :-? (p) :-s (m) 8-) :-t :-b b-( :-# =p~ $-) (b) (f) x-) (k) (h) (c) cheer
click the icon and copy the shortcode
To insert emoticon you must added at least one space before the code.