
MENTERI Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid menyaksikan upacara penyerahan bangunan sekolah SK Sungai Berua, Hulu Terengganu oleh Timbalan Pengerusi Eksekutif Tanjung Offshore Berhad Tan Sri Tan Kean Soon (dua dari kiri) kepada Pengarah Jabatan Pendidikan Terengganu, Shafruddin Ali Hussin di Kementerian Pendidikan hari ini. Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Seri Alias Ahmad (dua,kanan). - FotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Tanjung Offshore Berhad (TOB), sebuah syarikat minyak dan gas menyumbang sebuah bangunan sekolah bernilai RM200,000 bagi pendidikan murid Orang Asli di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Berua, Hulu Terengganu, Terengganu.
Majlis penyerahan sumbangan disaksikan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid di sini, hari ini. Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Pendidikan, Datuk Seri Alias Ahmad dan Pengerusi TOB, Datuk Dr Nik Nozrul Thani Nik Hassan Thani.
Dalam ucapannya, Mahdzir berkata, bangunan satu tingkat dengan empat bilik darjah itu akan menggalakkan lagi pelajar Orang Asli untuk datang ke sekolah dan beliau mahu lebih banyak syarikat swasta serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menyumbang kepada pembangunan pendidikan.
"Kerajaan sentiasa memberi tumpuan kepada murid Orang Asli termasuk membina asrama di sekolah mereka, selain asrama desa yang menempatkan murid Orang Asli yang menyambung pengajian ke sekolah menengah," katanya.
SK Sungai Berua yang mempunyai kira-kira 100 murid berdepan masalah kekurangan bilik darjah sehingga menyebabkan guru sekolah itu terpaksa menggunakan bilik guru dan kantin bagi tujuan pembelajaran murid.
Sementara itu, Nik Nozrul berkata, pembinaan bangunan sekolah berkenaan yang akan bermula bulan depan adalah langkah awal TOB untuk menyumbang kepada ekosistem pendidikan negara.

Oleh Norzamira Che Noh 21 Sep, 2016
Bagaimana Pula Pandangan Anda?
click the icon and copy the shortcode
To insert emoticon you must added at least one space before the code.