
SETIAUSAHA Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Azahari Sairin.
SHAH ALAM: Setiausaha Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Azahari Sairin, meninggal dunia jam 7.59 malam tadi ketika dirawat di Pusat Perubatan Ramsay Sime Darby, Subang Jaya, akibat demam denggi.
Allahyarham Azahari, 52, yang dimasukkan ke pusat perubatan itu pada Sabtu lalu selepas mengalami demam panas.
Beliau meninggalkan seorang balu, Azlina Mohd Noor, 50, dan tiga anak, dua perempuan dan seorang lelaki berusia 17 hingga 27 tahun.
Yang Dipertua MDKS, Noraini Roslan, ketika dihubungi mengesahkan kematian Azahari.
Difahamkan, jenazah Azahari akan dibawa pulang ke kediaman rasminya di Kuarters MDKS malam ini dan akan dikebumikan bersebelahan pusara ibunya di kampung halaman Allahyarham di FELDA Soeharto, Gedangsa, kira-kira jam 9 pagi esok.
Allahyarham berkhidmat di MDKS selama 11 tahun sejak Ogos 2005.
Sebelum itu, graduan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) pernah berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Undang-undang di Pejabat Daerah Tanah Petaling.
Turut memberi penghormatan terakhir di pusat perubatan itu, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim dan Noraini.
20 Sep, 2016
Bagaimana Pula Pandangan Anda?