Malaysia tidak sentuh mengenai Justo semasa mesyuarat dengan Thailand

SETIAUSAHA Akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atau mana-mana delegasi Malaysia tidak langsung membangkitkan sebarang perkara berhubung Andre Xavier Justo, yang disabitkan kesalahan memeras ugut bekas majikannya semasa Mesyuarat Perundingan Tahunan Malaysia-Thailand ke-6 di Bangkok, baru-baru ini.

Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad berkata, bertentangan dengan laporan yang diterbitkan akhbar Swiss 'Le Temps', Malaysia tidak membenarkan percubaan untuk mengganggu hal ehwal dalaman atau proses kehakiman negara lain.

"Tambahan pula, Perdana Menteri tidak disertai oleh individu yang dinamakan 'Le Temps'," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Tengku Sariffuddin berkata realitinya, pada mesyuarat Perundingan Tahunan berkenaan, keselamatan dan usaha bersama untuk memerangi ekstremisme menjadi agenda utama mesyuarat, selain menandatangani perjanjian perdagangan, pertumbuhan ekonomi untuk rakyat dan pembangunan inklusif untuk Muslim di selatan Thailand.

Bangkok membuat keputusan untuk menafikan permintaan Justo, bekas pekerja PetroSaudi International, untuk menjalani baki hukuman penjara tiga tahun di negara asalnya, Switzerland.

Namun, Portal berita 'Sarawak Report' dan Le Temps mendakwa Bangkok membuat keputusan itu akibat tekanan daripada luar.

Tengku Sariffuddin juga berkata selama dua tahun, bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad telah melancarkan kempen untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara demokrasi, semata-mata demi kepentingan politik diri dan untuk memperoleh manfaat untuk anaknya Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Beliau berkata, apabila kempen Mahathir gagal, beliau tanpa segan silu mengundang campur tangan asing ke negara sendiri serta turut menggunakan blog partisan politik, Sarawak Report untuk mempengaruhi media utama Barat.

"Sarawak Report pula, secara konsisten menyebarkan tuduhan palsu dan maklumat berniat jahat yang salah kepada media Barat, sesetengah daripada mereka telah meminggirkan prinsip kewartawanan yang betul dengan menyiarkan dakwaan berbahaya berdasarkan semata-mata daripada sumber yang tidak diketahui - semua yang diberikan kepada mereka oleh pihak yang bermotifkan politik," katanya.

Beliau berkata, dakwaan palsu yang diterbitkan oleh Le Temps adalah contoh terbaharu apabila akhbar berkenaan mengaitkan perkara itu daripada sumber yang tidak diketahui, tetapi sebenarnya maklumat berkenaan telah diberi kepada mereka oleh Sarawak Report. - BERNAMA

21 Sep, 2016

0 comment... add one now

Bagaimana Pula Pandangan Anda?

:) :)) ;(( :-) =)) ;( ;-( :d :-d @-) :p :o :>) (o) [-( :-? (p) :-s (m) 8-) :-t :-b b-( :-# =p~ $-) (b) (f) x-) (k) (h) (c) cheer
click the icon and copy the shortcode
To insert emoticon you must added at least one space before the code.