Selepas 3 tahun mengengsot, warga tua dapat kerusi roda

KOTA BHARU: Seorang warga tua terharu apabila menerima sebuah kerusi roda selepas hampir tiga tahun mengengsot untuk melakukan kegiatan hariannya.

Limah Kechik, 80, berkata dia sudah lama mahu melakukan pergerakan harian di dalam rumah selain keluar menziarahi saudara, tapi tidak mampu kerana sukar bergerak berikutan penyakit sendi yang dihidapinya.

"Mak cik pernah mengadu pada anak sebab untuk bergerak dalam rumah dengan cara mengengsot agak sukar kerana kedua-dua lutut sakit akibat menghidap penyakit sendi.

"Syukur, akhirnya tercapai impian untuk bergerak walaupun dengan menggunakan kerusi roda," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Penambang, di sini, hari ini.

Kerusi roda berkenaan disumbangkan Naib Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa, Wan Shahrul Azuan Wan Abd Azez.

Limah yang mempunyai tiga anak berkata, sebelum menghidapi penyakit sendi, dia aktif menjual daun pisang kepada peniaga kedai makan.

"Mak cik tinggal di rumah ini bersama seorang anak lelaki, Azmi Yahya, 55, dan empat cucu," katanya sambil menambah yang suaminya sudah meninggal dunia sejak 18 tahun lalu, kerana penyakit asma.

Sementara itu, Wan Shahrul Azuan yang juga Penyelaras DUN Kijang berkata, pemberian kerusi roda itu bagi memudahkan pergerakan Limah, selain mengurangkan kesakitan yang ditanggungnya.

"Saya akan cuba merujuk Limah ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ11) Kota Bharu untuk menjalani pemeriksaan lutut dan matanya yang rabun," katanya.

Oleh Betty Subaryati 21 Sep, 2016

0 comment... add one now

Bagaimana Pula Pandangan Anda?