
PRESIDEN CUEPACS, Datuk Azih Muda ketika sidang media pada Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan Dwi Tahunan Kesatuan Kakitangan Perkhidmatan Tadbir dan Awam Pasukan Polis Semenanjung Malaysia (PACSU) hari ini. - Foto BERNAMA
ALOR SETAR: CUEPACS tidak akan melayan hasrat Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) untuk duduk semeja berbincang mengenai isu berkaitan cadangan waktu bekerja penjawat awam dipendekkan kepada enam jam.
Presidennya, Datuk Azih Muda, berkata ini kerana pihaknya sepakat berpendapat bahawa cadangan memendekkan waktu kerja itu bukan sahaja tidak praktikal, malah boleh memberi kesan negatif jangka panjang kepada penjawat awam terutama dari aspek pendapatan.
"Tidak ada keperluan untuk adakan pertemuan atau menerima kunjungan MTUC bagi membincangkan perkara terbabit.
"Saya tidak akan jumpa dia (MTUC). CUEPACS tidak ada kepentingan dengan MTUC kerana kita tetap mahu waktu bekerja lapan jam dikekalkan," katanya bagi mengulas kenyataan MTUC yang sedia bersemuka dengan CUEPACS untuk memberi penjelasan terperinci berhubung cadangan memendekkan waktu kerja penjawat awam itu.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Persidangan Perwakilan Dwi Tahunan Kesatuan Kakitangan Perkhidmatan Tadbir dan Awam Pasukan Polis Semenanjung Malaysia (PACSU) ke-36 (2016-2018) di sini, hari ini. Majlis itu dirasmikan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Oleh Betty Subaryati 21 Sep, 2016
Bagaimana Pula Pandangan Anda?