
KUALA LUMPUR: Pengurusan operasi perkhidmatan tren paling mencabar di seluruh dunia, Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro Southern Line (MMMSL) oleh Prasarana Malaysia Berhad (PRASARANA) secara rasminya bermula semalam.
PRASARANA dalam kenyataan media, berkata operasi MMMSL bermula pada jam 4 pagi semalam manakala penempatan kakitangan stesen dijalankan seawal jam 3 pagi kelmarin (8 September) dari depoh ke stesen kerja masing-masing.
Tujuh daripada 12 tren pertama beroperasi pada hari pertama melalui Pergerakan 1 yang berhenti di sembilan stesen dan dilepaskan Pusat Kawalan Operasi (OCC) berpusat di Depoh Arafat.
Pergerakan tren dikategorikan dalam lima struktur bergantung kepada pergerakan jemaah ketika ibadah haji.
Persediaan pengurusan operasi pada tahun ini adalah lebih selaras dengan pasukan seramai 17,000 kakitangan termasuk pegawai dan kakitangan Pasukan Keselamatan Fasiliti Arab Saudi (FSF).
8,500 kakitangan bantu operasi
Ketua Pegawai Operasi MMMSL, Masnizam Hisham, yang merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Arab Saudi berkata, sejumlah 8,500 pegawai dan kakitangan FSF ditempatkan untuk membantu MMMSL tahun ini selama tujuh hari sehingga 15 September ini.
"Tenaga kerja penuh pada tahun ini adalah lebih 17,000 orang secara keseluruhan yang terdiri daripada kakitangan PRASARANA, Prasarana Integrated Management and Engineering Services (PRIME), Express Rail Link (ERL), bekas kakitangan KTM Berhad, kakitangan tempatan dan dan FSF," katanya.
Daripada jumlah itu, seramai 395 kakitangan terdiri daripada kakitangan Kumpulan PRASARANA, daripada pelbagai subsidiari, divisyen, jabatan dan unit.
PRIME yang juga subsidiari PRASARANA, memperoleh kontrak selama tiga tahun mengurus dan menjalankan operasi MMMSL pada Mei tahun lalu.
Setiausaha Agung Lembaga Pembangunan Wilayah Makkah (MDRA), Dr Hisham Abdulrahman Al Faleh kelmarin diberi taklimat berhubung persediaan operasi MMMSL.
MDRA adalah pemilik projek MMMSL yang baharu dilantik.
Hisham dan delegasi yang diiringi pegawainya mengadakan lawatan di OCC dan diberi taklimat oleh pegawai MMMSL termasuk Pengarah Urusan, Ahmad Jamaluddin Salleh; Pengarah Negara (Arab Saudi) PRIME, Mohamad Hashim Mamot dan Pengarah Operasi MMMSL, Azmi Mat Zain.
Delegasi turut diberi taklimat berhubung prosedur krisis pengurusan dan program aplikasi baharu dalam mengesan kehadiran, pergerakan kakitangan dan jemaah serta memantau insiden di stesen.
Jamaluddin berkata, operasi pasukan pada tahun ini bersedia lebih awal dan ia membolehkan PRASARANA menjalankan pelan komprehensif untuk penyelenggaraan tren dan sistem serta persediaan untuk operasi.
Ia termasuk operasi percubaan 24 jam selama 32 hari, latihan pelan tindakan kecemasan, 19 set ujian kes untuk menilai kesiapsiagaan kakitangan dan sistem serta pelan penyelenggaraan komprehensif sepanjang tahun.
Saya gembira kerana MDRA sangat berpuas hati dengan persediaan kita tahun ini dan mereka mengakui kita adalah lebih bersedia tahun ini berbanding tahun lalu persediaan kita bermula serta merta selepas menamatkan operasi tahun lalu, selain menjalankan semua persediaan penting.
Oleh Fairuz Zaidan 10 Sep, 2016
Bagaimana Pula Pandangan Anda?