
PERDANA Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak diiringi Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem menerima cenderahati dari Pengerusi Petronas, Tan Sri Mohd Sidek Hassan selepas menyampaikan amanat di Sambutan Hari Malaysia bersama Kakitangan Petronas di Dewan Suarah Bintulu. - Foto Mohd Radzi Bujang
BINTULU: PETRONAS berupaya untuk terus menjadi ejen pembangunan dan sosio ekonomi negara dengan nikmatnya dikecapi segenap lapisan rakyat, kata Datuk Seri Najib Razak.
Perdana Menteri berkata, pengalaman 40 tahun yang dimiliki PETRONAS membolehkan syarikat itu berdepan pelbagai bentuk cabaran dan kekal menyumbang terhadap kemajuan negara.
"Sejak PETRONAS ditubuhkan, pelbagai situasi sukar kita hadapi sepanjang 40 tahun perjalanannya. PETRONAS bukan sekadar syarikat minyak atau 'angsa emas' yang mengeluarkan 'telur emas' untuk negara.
"Ia lebih daripada itu. PETRONAS adalah ikon negara, simbol maruah dan kebanggaan kita yang perlu terus dipertahankan oleh setiap lapisan rakyat negara ini dalam apa keadaan mendatang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Sambutan Hari Malaysia Bersama Warga PETRONAS di Dewan Suarah Bintulu di sini, petang tadi.
Hadir sama Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem; Pengerusi PETRONAS, Tan Sri Sidek Hassan dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Datuk Seri Wan Zulkiflee Wan Ariffin.
Najib turut berkongsi kenangan sebagai eksekutif muda yang menyertai pasukan penubuhan PETRONAS, malah menyifatkan pencapaian syarikat ketika ini berbeza berbanding eranya dulu.
Beliau turut mengagumi pencapaian PETRONAS yang tersenarai dalam syarikat 'Fortune 500', selain beroperasi di lebih 30 negara di seluruh dunia termasuk ke lokasi terpencil di Laut Caspian, Turkmenistan.
"Berapa banyak syarikat petroleum di dunia mengalami transformasi sehebat PETRONAS yang muncul sebagai syarikat multinasional gergasi, khusus industri minyak dan gas, dengan hasil diperoleh menyumbang kepada kemajuan negara," katanya.
Bagaimanapun, Perdana Menteri meminta rakyat memahami situasi sukar dialami PETRONAS berikutan penurunan harga minyak dunia, malah perlu berdiri menjadi tiang penyokong syarikat minyak negara itu.
"Harga minyak mencecah AS$110 setong, kini menyusut AS$46 setong. Keadaan sekarang lebih mencabar.
"Sebagai Menteri Kewangan, saya tahu setiap penurunan (kadar matawang) AS$1, kita akan mengalami kerugian pendapatan mencecah RM450 juta.
"Ini memberi kesan kepada PETRONAS, malah, pendapatan negara juga merosot. Rakyat perlu memahami situasi ini dan bersatu dalam memperkukuhkan kedudukan PETRONAS," katanya.
Bagaimanapun, Najib berkata, kekangan itu tidak menjejaskan inisiatif dirangka bagi memperkasakan pembangunan Sarawak, terutama dalam konteks pertumbuhan industri petroleum negeri.
"Ini perlu kita selesaikan dalam suasana harmoni, dalam semangat penyatuan bersandarkan konsep Hari Malaysia," katanya.

16 Sep, 2016
Bagaimana Pula Pandangan Anda?
click the icon and copy the shortcode
To insert emoticon you must added at least one space before the code.