Pesakit jantung perlu sumbangan dana untuk pembedahan

DUA bayi, Nur Zara Fiza (tengah) dan Teoh Zi Ping (kanan) manakala kanak-kanak, Lee Xinlin (kiri) masing-masing memerlukan sumbangan dana bagi menjalani pembedahan jantung. - Foto Ramdzan Masiam

GEORGETOWN: Dua bayi dan seorang kanak-kanak masing-masing memerlukan sumbangan dana antara RM50,000 hingga RM70,000 bagi menjalani pembedahan jantung di Pusat Perubatan Gleneagles, di sini.

Ros Azizul Mohd Rosli, 30, dari Langkawi, Kedah, berkata bayinya, Nur Zara Fiza berusia tiga bulan, memerlukan kira-kira RM50,000 untuk menampung kos pembedahan jantung.

"Pembedahan ini adalah kali pertama yang akan ditempuh oleh anak saya dan saya berharap dia akan sembuh sepenuhnya dan membesar seperti bayi lain.

"Saya berasa sedih kerana dia terlalu kecil untuk melalui keadaan ini, tetapi saya perlu reda dengan ketentuan Ilahi," katanya yang hanya bekerja sebagai pemandu kereta.

Pasangan suami isteri, Teoh Kiang Koon, 34, dan Ngu Yen Thi Bicn Duyen, 20, dari Sungai Bakap, pula memerlukan kira-kira RM55,000 bagi menampung kos pembedahan anak sulung mereka, Teoh Zi Ping, yang berusia satu tahun.

"Anak kami dikesan menghidap masalah jantung selepas dua hari dilahirkan dan saya yang cuma bekerja sebagai pengecat rumah tidak mampu untuk menampung kos itu," katanya.

Seorang lagi kanak-kanak perempuan, Lee Xinlin, 6, memerlukan RM60,000 hingga RM70,000 bagi membiayai kos pembedahannya.

Ibunya, Lee Chee Cheng, 37, berkata pembedahan ini adalah kali yang ketiga buat anak sulungnya itu yang dijangka dijalankan pada bila-bila masa.

"Saya susah hati dengan kesihatannya yang tidak menentu selain demam berterusan sehingga dua bulan dan saya harap pembedahan ini adalah yang terakhir untuknya, selain mengharapkannya pulih seperti kanak-kanak lain," katanya.

Orang ramai yang mahu membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi cek atas nama Media Prima-NSTP Humanitarian Fund dengan menulis nama pesakit di belakang cek dan dihantar ke Jabatan Kumpulan Komunikasi Korporat, Media Prima Berhad, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100, Kuala Lumpur atau menghubungi talian 03-27248977.

Oleh Fatin Fazlina Yaakob 08 Sep, 2016

0 comment... add one now

Bagaimana Pula Pandangan Anda?

:) :)) ;(( :-) =)) ;( ;-( :d :-d @-) :p :o :>) (o) [-( :-? (p) :-s (m) 8-) :-t :-b b-( :-# =p~ $-) (b) (f) x-) (k) (h) (c) cheer
click the icon and copy the shortcode
To insert emoticon you must added at least one space before the code.