VIENTIANE, Laos: Datuk Seri Najib Razak mengesahkan ketidakhadiran Presiden Filipina, Rodrigo Duterte dalam Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat (AS) yang berlangsung pagi ini.
Perdana Menteri berkata, Duterte mungkin tidak hadir pada mesyuarat yang turut dihadiri Presiden AS, Barack Obama disebabkan komennya sebelum ini.
"Saya pun tak tanya Duterte (mengenai ketidakhadiran), barangkali dia ada sebab selepas komen dia yang dia rasa agak tidak serasi kalau hadir dalam persidangan itu.
"Tetapi Duterte hadir dalam Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) dan mempertahankan tindak tanduk Filipina memerangi penjenayah dadah.
"Dia kata kita tidak boleh menilai hak kemanusiaan kerana mereka ini zalim dan membunuh keluarga, polis dan keluarga polis, malah ada yang diugut dan dirogol," katanya pada wartawan Malaysia di Pusat Konvensyen Nasional, di sini, hari ini.
Duterte tidak menyertai mesyuarat sidang kemuncak itu dan difahamkan hanya diwakili Setiausaha Hubungan Luar Filipina, Perfecto Rivas Yasay Junior.
Presiden republik itu menjadi tumpuan dunia apabila mengecam Obama dengan memberi gelaran anak haram menjelang lawatan rasmi beliau ke sini pada sidang akhbar, Isnin lalu.
Kedua-dua pemimpin juga dijadualkan bertemu Selasa lalu di Vientiane tetapi Obama menarik diri selepas tindakan Duterte.
Dalam kecaman itu, Duterte memberi amaran tidak akan membiarkan Obama mengajarnya berhubung kebimbangan mengenai kempen memerangi jenayah yang sudah meragut lebih 2,400 nyawa di Filipina.
Selepas mendapat pelbagai reaksi, Duterter mengeluarkan kenyataan melahirkan rasa kesal dengan kecaman itu.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata Duterte juga bercakap dengan nada emosi dan lantang ketika EAS berlangsung berhubung tindakannya terhadap penjenayah dadah.
Katanya, pemimpin itu juga menunjukkan gambar pembunuhan beramai-ramai oleh askar AS pada 1906 selain mempertikaikan hak kemanusiaan yang cuba dipertahankan.
Ditanya mengenai Duterte yang mencuri tumpuan pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-28 dan Ke-29 yang berakhir semalam, Najib berkata, kenyataan seperti itu sudah tentu menjadi perhatian media tetapi adalah penting untuk ASEAN kekal bersama untuk memastikan organisasi ini dihormati dan terus berwibawa.

Daripada Nazura Ngah 08 Sep, 2016
Bagaimana Pula Pandangan Anda?
click the icon and copy the shortcode
To insert emoticon you must added at least one space before the code.