
Pemangku Imam Besar MTMZA, Ehsan Mohd Hosni mengaminkan doa selepas menunaikan solat jenazah ghaib Allahyarham Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din dan turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Tan Sri Othman Mustapha (dua dari kiri) di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA). Datuk Dr Haron Din, 76, meninggal dunia pada 10.10 pagi (waktu Malaysia) di Hospital Stanford University, San Francisco, Amerika Syarikat akibat komplikasi jantung. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
PUTRAJAYA: Pemergian Allahyarham Datuk Dr Haron Din yang disifatkan sebagai antara tokoh Islam berilmu tinggi dalam bidang fekah, tauhid dan kemasyarakatan, adalah kehilangan besar kepada negara.
Ketua Pengarah Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM), Tan Sri Othman Mustapha, berkata Allahyarham banyak terbabit dalam program di Bank Negara Malaysia (BNM) termasuk menjadi antara penasihat pelaksanaan sistem perbankan Islam di negara ini.
"Allahyarham turut mengetuai Kluster Dakwah dalam Majlis Perundingan Islam (MPI) yang berperanan menyatukan rakyat Malaysia menerusi konsep perpaduan Islam.
"Tiada siapa dapat menafikan ketokohan yang boleh dilihat menerusi siri penulisan dan ceramah disertainya," katanya kepada pemberita selepas solat jenazah ghaib di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA), di sini, hari ini.
Haron, 76, meninggal dunia pada jam 10.10 pagi semalam waktu Malaysia di Hospital Stanford University, San Francisco, Amerika Syarikat akibat komplikasi jantung.
Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Five Pillars Farm Livermore, California.
Othman pernah menjadi pelajar Allahyarham ketika menuntut dalam bidang syariah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
"Waktu itu, Allahyarham adalah Dekan Fakulti Pengajian Islam yang amat teliti, sentiasa memastikan penuntut menerima ilmu secara teliti dan meminta ilmu yang diterima itu disampaikan secara teliti.
"Allahyarham pernah berpesan supaya tidak membicarakan soal akidah dalam nada tinggi dan gelak ketawa, selain berpesan supaya setiap ilmu serta isu Islam yang ingin dibincangkan disampaikan secara tenang dan cermat," katanya.
Oleh Siti Rohana Idris 17 Sep, 2016
Bagaimana Pula Pandangan Anda?