
Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, memasuki kawasan kilang untuk menjalankan kerja mengawal kebocoran gas amonia. - Foto Yahya Zainuddin
IPOH: Sebuah kilang bahan kimia di Bukit Merah di sini, mengalami kebocoran gas ammonia yang menyebabkan penularan bau bahan berkenaan ke penempatan berhampiran, tengah hari tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang ramai pada jam 12.03 tengah hari tetapi pihak kilang terbabit mendakwa keadaan terkawal dan mengakui berlaku kebocoran pada satu paip gas ammonia.
"Tidak lama kemudian, pihak syarikat menghubungi Balai Bomba Pasir Puteh menyatakan berlaku lagi kebocoran dan keadaan sukar dikawal," katanya di sini hari ini.
Sehubungan itu, sepasukan anggota bergegas ke tempat kejadian bagi mengawal keadaan.
Sementara itu, Ketua Kampung Bukit Merah, Menglembu, Woong Tong Wan, mulanya menyangka berlaku kemalangan jalan raya apabila terdengar dentuman dari arah kilang berkenaan pada jam 9.55 pagi.
Katanya, seorang penduduk menghubunginya dan memberitahu menghidu bau busuk dipercayai gas ammonia di kampung berkenaan.
"Saya bergegas ke kilang berkenaan dan mendapati ramai pekerja kilang berada di luar sambil memakai topeng penutup mulut," katanya.
Tong Wan kemudian mendapati beberapa pokok berhampiran kawasan tong yang bocor itu, mati dan menjadi kering sebelum membuat laporan ke balai polis berdekatan serta menghubungi pihak bomba dan Jabatan Alam Sekitar.
Oleh Siti Rohana Idris 17 Sep, 2016
Bagaimana Pula Pandangan Anda?