Pelbagai projek keselesaan rakyat, kukuhkan ekonomi - PM

NAJIB di majlis pecah tanah tapak stesen MRT Putrajaya Sentral di Presint 7, semalam. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Dalam tempoh tujuh tahun menjadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melaksanakan pelbagai projek pembangunan yang menjadi asas kepada struktur kukuh ekonomi negara.

Perdana Menteri berkata, bagi memudahkan perhubungan rakyat, kerajaan membangunkan projek Pembinaan Mass Rapid Transit (MRT), sistem Transit Aliran Ringan (LRT) 2 serta 3 dan Bas Rapid Transit.

Selain itu katanya, Lebuh raya Pantai Timur (LPT) dipanjangkan lagi menerusi pembinaan fasa kedua sepanjang 185 kilometer (km), manakala pembinaan kereta api berkelajuan tinggi yang menghubungkan bandar utama dari Kuala Lumpur ke Singapura akan meningkatkan aktiviti ekonomi sepanjang laluan, termasuk menaikkan nilai hartanah di bandar persinggahan.

"Di Sabah dan Sarawak, Lebuh raya Pan Borneo sedang dibina bagi meningkatkan aktiviti ekonomi di sana.

"Seterusnya, bangunan pencakar langit ikonik seperti KL118, Tun Razak Exchange sedang dibina bagi memesatkan lagi pertumbuhan ekonomi di ibu negara.

"Kerajaan juga sudah membina lebih banyak rumah mampu milik seperti projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan Rumah Transit.

Bagi meningkatkan akses kepada perkhidmatan perubatan kita membina lebih banyak Klinik 1Malaysia dan Klinik Bergerak 1Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian dalam rakaman Siaran Radio Perdana Menteri mengenai 'Program Transformasi Negara' yang dimuat naik dalam blog NajibRazak.com, hari ini.

Oleh Muhammad Mustakim Ramli 16 Sep, 2016

0 comment... add one now

Bagaimana Pula Pandangan Anda?