
Menteri Kesejahteraan Bandar ,Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Abdul Rahman Dahlan mengenakan jaket keselamatan kepada seorang pelajar sebagai simbolik pelancaran Program Kesedaran Keselamatan Aktiviti Air untuk pelajar sekolah di Presint 5, Putrajaya. Turut kelihatan Pengerusi NIOSH, Tan Sri Lee Lam Thye dan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim. - Oleh Samadi Ahmad
PUTRAJAYA: Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menambah satu lagi modul Pelan Tindakan Keselamatan Aktiviti Air (MKAA) 2016-2020 bagi meningkatkan keselamatan orang ramai melakukan riadah itu.
Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan, berkata modul berkenaan adalah berkaitan keselamatan dan penyelamatan di air, yang lazimnya diguna pakai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam kempen kesedarannya.
"JBPM, dalam program sosial korporat (CSR) di sekolah, kerap memberi penerangan dan melatih aspek keselamatan berkaitan kebakaran. Selepas ini, kita akan menambah satu lagi modul berkaitan keselamatan dan penyelamatan di air.
"Pihak berkuasa tempatan (PBT) seharusnya bekerjasama dengan JBPM dan Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPAM) untuk memeriksa serta memantau keselamatan di tempat perkelahan yang sering menjadi tumpuan orang ramai terutama menjelang cuti persekolahan minggu depan.
"Program ini lebih menumpukan kepada pelajar sekolah kerana setiap kali musim cuti persekolahan, kes mati lemas ini sering terjadi dan jumlahnya pula semakin meningkat," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran kempen 'Kesedaran Keselamatan Aktiviti Air Untuk Pelajar Sekolah'," di sini hari ini.
Yang turut hadir, Presiden Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye serta Ketua Pengarah JBPM, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim.
Abdul Rahman berkata, program kesedaran yang julung kali diadakan pihak JBPM itu bertujuan mengurangkan insiden atau kemalangan berkaitan air akibat kecuaian dan kementeriannya sedang merangka MKAA secara berperingkat bagi menambah baik aspek keselamatan orang ramai mengikut perkembangan semasa.
Jelas beliau, salah satu teras tindakan itu adalah untuk meningkat kesedaran dan menggalakkan orang ramai mengamalkan budaya selamat ketika menjalankan kegiatan berkaitan air, malah MKKA ditubuhkan kerana kes kematian lemas dan kemalangan membabitkan air sejak kebelakangan ini semakin meningkat.
"Sikap tidak ambil peduli dan kurang peka kepada peraturan sedia ada seperti papan tanda amaran dan larangan menyebabkan kemalangan ini sering berlaku," katanya.

26 May, 2016
Bagaimana Pula Pandangan Anda?
click the icon and copy the shortcode
To insert emoticon you must added at least one space before the code.