KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni, hadir sambutan Hari Malaysia peringkat negeri di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Likas, di sini, sebentar tadi.
Sejurus tiba, Juhar memeriksa Kawalan Kehormat Utama di pekarangan dewan berkenaan. Turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dan Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan serta menteri Kabinet negeri Sabah.
Pada majlis itu, tujuh anak Malaysia yang lahir pada 16 September melafazkan ikrar Rukun Negara. Lebih 3,000 orang termasuk peserta perbarisan yang mewakili 17 kontinjen hadir memeriahkan sambutan sejak jam 7 pagi.
Terdahulu, Musa dalam ucapannya yang dibacakan Yahya, berkata kerajaan negeri akan terus memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat dan negeri Sabah dengan pendekatan tersendiri.
"Telah terbukti bahawa apa juga perkara yang kita bangkitkan menyentuh hak dan kepentingan menerusi perbincangan serta rundingan, telah banyak membuahkan hasil dan manfaat kepada rakyat negeri ini.
"Kita percaya suara Sabah akan terus didengar oleh pucuk pimpinan negara khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak," katanya.

Oleh Mohd Nasaruddin Parzi 16 Sep, 2016
Bagaimana Pula Pandangan Anda?
click the icon and copy the shortcode
To insert emoticon you must added at least one space before the code.