
PENGERUSI Gabungan NGO Malaysia, Datuk Jamal Md Yunos (tengah) bersama pengikut kumpulan baju merah. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kumpulan baju merah di bawah Gabungan Badan Bukan Kerajaan(NGO) Malaysia tidak teragak-agak untuk turun sama berhimpun di lokasi perhimpunan Bersih 5.0 pada 19 November depan sekiranya ia diadakan tanpa mengikut lunas undang-undang.
Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Datuk Jamal Md Yunos, berkata Bersih 2.0 sebagai penganjur perhimpunan itu perlu mengikut undang-undang ditetapkan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA 2012) dengan mengadakan perhimpunan di kawasan yang dibenarkan seperti stadium.
"Kita selama ini berada dalam negara yang cukup aman dan damai.. orang ramai boleh membeli belah, boleh makan di kedai mamak dan bebas untuk ke mana-mana sahaja, tidak ada masalah.
"Tetapi dengan ada 'binatang sarkis' seperti mereka, keamanan negara kita akan terancam. Seruan mereka untuk menjatuhkan amalan demokrasi berperlembagaan dan Perdana Menteri amat kita kecam," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Beliau sebelum itu bersama tiga ahli Gabungan NGO Malaysia dan diiringi lebih 50 ahli kumpulan baju merah membuat empat laporan polis terhadap Bersih 2.0 di Balai Polis Dang Wangi.
Beliau kemudian melaungkan amaran, kumpulan baju merah akan turun berhimpun pada masa, tarikh dan tempat yang sama dengan perhimpunan Bersih 5.0.
"Kami akan bertindak balas seperti amaran-amaran kami sebelum ini, kami akan turun pada tarikh, waktu dan tempat yang sama.. termasuk di lokasi-lokasi 'roadshow' Bersih 5.0 yang akan diadakan.
"Sekiranya perhimpunan Bersih 5.0 diadakan secara haram, kita akan menentang secara habis-habisan..namun sekiranya ianya diadakan mengikut undang-undang, kita alu-alukan walaupun berjuta-juta orang akan menyertainya," katanya.
Jamal berkata, jika penganjur Bersih 5.0 cuba melanggar undang-undang, ratusan ribu pengikut kumpulan baju merah tidak teragak-agak untuk 'bertembung' dengan peserta perhimpunan itu.
Oleh Rafidah Mat Ruzki 20 Sep, 2016
Bagaimana Pula Pandangan Anda?