KUALA LUMPUR: Persatuan Penulis Johor (PPJ) meminta Gabungan Persatuan Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) tidak mempolitikkan isu Kaji Selidik Perancangan Hala Tuju 5 Tahun Kementerian Pendidikan, sebaliknya mengadakan pertemuan dan perbincangan secara tertutup dengan kementerian berkenaan.
Ketua Satunya, Amiruddin Ali Hanafiah, berkata kaji selidik itu bersifat positif dan tidak perlu timbul prasangka atau persepsi negatif, malah sekiranya dijadikan sebagai polisi serta dilaksanakan, ia tidak wajar dipandang serong oleh mana-mana pihak kerana dibuat secara terbuka dan demokratik.
"Sekiranya bahasa Malaysia dijadikan bahasa pengantar dalam kalangan pelajar di semua sekolah, ia akan mampu melahirkan sikap bersatu padu dan harmoni, sekali gus membentuk jati diri bangsa Malaysia.
"PPJ berpendapat penggunaan bahasa Malaysia adalah wajar kerana mencerminkan jiwa rakyat negara ini," katanya kepada BH di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris pada hari ini mengenai kebimbangan Jiao Zong yang beranggapan dua soalan dalam kaji selidik itu adalah 'sangat sensitif.'
Dua soalan daripada keseluruhan 12 soalan yang dikemukakan adalah soalan nombor lima, iaitu 'adakah anda bersetuju dengan guru pelbagai bangsa mengajar di sekolah' dan soalan terakhir, 'jika bahasa Malaysia dijadikan bahasa utama komunikasi, adakah ia akan membantu menyatupadukan pelajar di sekolah?'
Amiruddin berkata, PPJ ingin menyeru masyarakat Cina bersama-sama memartabatkan bahasa kebangsaan dan menghilangkan prasangka penggunaan bahasa Melayu sebagai tindakan menghapuskan bahasa ibunda.
"PPJ meminta Jiao Zong sama-sama membantu memartabatkan bahasa kebangsaan yang termaktub dalam Perlembagaan Perkara 152, iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan," katanya.
Tegas Amiruddin, PPJ menghormati bahasa kaum lain dan menyokong ia dikekalkan dalam sistem pendidikan tetapi bahasa kebangsaan hendaklah dijadikan bahasa pengantar dalam sistem pendidikan di negara ini selaras dengan Perlembagaan.
"Penggunaan bahasa kebangsaan di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) adalah untuk membentuk perpaduan dan membina jati diri bangsa Malaysia serta mencintai negara ini kerana bahasa kebangsaan adalah bahasa untuk semua rakyat Malaysia.
"Pemahaman terhadap bahasa kebangsaan hendaklah dibentuk daripada sekolah rendah termasuk SJKC kerana adalah terlewat untuk mempelajari bahasa kebangsaan pada peringkat sekolah menengah," katanya.
Tambah Amiruddin, mereka yang menyintai dan menyayangi negara ini serta menyayangi keharmonian berbilang kaum yang dipupuk dan disemai dalam kalangan pelbagai etnik hendaklah berfikiran terbuka dan menganggap kaji selidik ini sebagai usaha terbaik kerajaan demi masa depan Malaysia.
Kaji Selidik Perancangan Hala Tuju 5 Tahun Kementerian Pendidikan Malaysia yang sebelum ini boleh diakses melalui laman web kementerian itu bagaimanapun sudah tidak dapat berbuat demikian sejak tengahari tadi.
Oleh Hafizah Iszahanid 08 Sep, 2016
Bagaimana Pula Pandangan Anda?