
MENTERI Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid. - Foto Zain Ahmed
KOTA TINGGI: Kementerian Pendidikan mengeluarkan pekeliling melarang semua sekolah mengadakan lawatan sambil belajar ke negara dikenal pasti mengalami jangkitan virus zika.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata pekeliling dikeluarkan hasil Mesyuarat Profesional Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bertarikh 1 September lalu.
Berdasarkan pekeliling berkenaan, katanya, sekolah tidak dibenarkan mengadakan lawatan sambil belajar ke negara yang dikenal pasti ada jangkitan virus Zika seperti Singapura dan Filipina.
"Ia sudah dimaklumkan kepada semua Pengarah Jabatan Pendidikan negeri dalam Mesyuarat Pengurusan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM).
"Kita mengarahkan semua zon persekolahan melakukan kerja pembersihan sama ada oleh syarikat atau gotong-royong bagi mengelak menjadi sarang pembiakan aedes," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tenggara di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Habab di sini, hari ini.
Mahdzir berkata, larangan berkuat kuasa sehingga mendapat maklum balas Kementerian Kesihatan berhubung status virus Zika.
"Kementerian memberi nasihat perjalanan kerana Zika dikesan Singapura, selain memaklumkan kesan virus itu dalam pekeliling berkenaan," katanya.

Oleh Baharom Bakar dan Mohamad Ishak 10 Sep, 2016
Bagaimana Pula Pandangan Anda?
click the icon and copy the shortcode
To insert emoticon you must added at least one space before the code.