KUALA LUMPUR: Belia ASEAN yang menyumbang kira-kira 25 peratus jumlah penduduk rantau ini perlu diperkasa supaya menjadi penjana inovasi untuk melonjak ekonomi sebaris negara maju.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, berkata hampir 160 juta belia berusia 15 hingga 29 tahun di Asia Tenggara perlu menyelami kesungguhan Jepun dalam mengorak pelbagai langkah ke arah kecemerlangan inovasi di semua peringkat institusi pengajian.
Katanya, tekad untuk memacu kedudukan ASEAN menerusi belia sebagai generasi pelapis adalah pemangkin terbaik kerana 'jendela' kerjasama di antara Malaysia dan Jepun sudah lama bertapak sejak 1981 lagi.
"Semuanya harus bermula dari peringkat awal, iaitu menerusi pendidikan yang menerapkan kecenderungan meneroka bidang baharu dan menghasilkan produk berteraskan inovasi tanpa mengikut pola sedia ada," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Kyoto-ASEAN bertajuk 'Jendela untuk ASEAN: Antarabangsa dan Inovatif', di sini hari ini.
Yang turut hadir, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi; Duta Jepun ke Malaysia, Dr Makio Miyagawa dan Presiden Universiti Kyoto, Dr Juichi Yamagiwa.
Khairy berkata, Jepun bersikap terbuka dan menunjukkan kesungguhan untuk mempelajari kemahiran dalam sukan bola sepak dari Malaysia pada era 1980-an, namun 30 tahun kemudian menyaksikan keputusan berbeza bagi kedua-dua negara.
"Pasukan bola sepak Jepun layak ke Piala Dunia, manakala Malaysia masih bergelut dan berdepan pelbagai kesukaran sedangkan kita yang ajar mereka sebelum ini.
"Sudah tiba masanya untuk kita pula menuntut dengan Jepun, namun bukan mengenai kemahiran bola sepak, tetapi kepentingan dan manfaat sains sukan untuk diterapkan dalam kalangan atlet negara," katanya.
Khairy turut mencadangkan supaya golongan penyelidik dan saintis di Malaysia dibayar gaji lebih berpatutan kerana kajian mendapati ia antara penentu kadar inovasi.

Oleh Mohd Iskandar Ibrahim 08 Sep, 2016
Bagaimana Pula Pandangan Anda?
click the icon and copy the shortcode
To insert emoticon you must added at least one space before the code.