Bantuan rumah mampu milik dalam Bajet 2017

SETIAUSAHA Agung Kementerian Kewangan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka mengumumkan bantuan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk membeli rumah mampu milik pada pembentangan Bajet 2017 nanti.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, berkata pihaknya kini sedang berbincang dengan empat bank utama mengenai bagaimana golongan terbabit dapat memiliki rumah mampu milik di bawah projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).

Bagaimanapun, katanya, bantuan itu hanya untuk projek PR1MA bernilai RM300,000 ke bawah.

"Pengumuman yang lebih terperinci akan dibuat oleh Perdana Menteri sendiri ketika membentangkan Bajet 2017 bulan depan nanti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Rangkaian Perkembangan Sosial Malaysia (SPNM) di sini, hari ini. Yang turut hadir Pengarah SPNM, Dr Shariha Khalid.

Mengenai cadangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang kini membenarkan pemaju perumahan untuk mengeluarkan pembiayaan kepada pembeli, Irwan Serigar berkata cadangan itu perlu dikaji.

"Saya hanya membaca mengenai perkara ini di dalam surat khabar, jadi saya tidak boleh mengulas lebih lanjut," katanya.

Semalam, Menteri KPKT, Tan Sri Noh Omar mengumumkan bermula sekarang, pemaju perumahan khususnya yang mempunyai kewangan kukuh boleh memohon lesen pinjaman wang untuk menyediakan kemudahan pembiayaan kepada pembeli rumah.

Lesen itu akan dikeluarkan oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengikut Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Pindaan 2011).

"Inisiatif baharu ini akan membolehkan pemaju menyediakan pinjaman perumahan bagi membantu pembeli yang berdepan kesukaran mendapatkan pembiayaan daripada institusi kewangan termasuk bank atau menghadapi kesulitan membayar wang pendahuluan," katanya.

Oleh Farah Suhaidah Othman 09 Sep, 2016

0 comment... add one now

Bagaimana Pula Pandangan Anda?