
KETUA UMNO Bahagian Batu Pahat, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi (dua dari kanan) menyampaikan cek kepada Mohamad Nurazri Sh Mohamad (tiga dari kiri) dan Muhamad Lukman Naqib Ahmad Kamal (dua dari kiri) pada Majlis bantuan melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar Mesir di Masjid Bentera Luar, Batu Pahat turut kelihatan Timbalan Ketua UMNO Batu Pahat, Zaidi Jaafar (kanan). - Foto Syarafiq Abd Samad
BATU PAHAT: Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) memberi bantuan dana pelajaran RM10,000 kepada dua pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan di sini, yang berjaya melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Universiti al Azhar, Mesir.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata bantuan berkenaan bagi memudahkan kedua pelajar itu membayar yuran pendaftaran selain perbelanjaan harian mereka.
Katanya, walaupun JASA bukan agensi yang bertanggungjawab dalam membantu pelajar yang memerlukan bantuan kewangan namun ia dilakukan sebagai dasar keprihatinan kerajaan mencapai golongan kurang berkemampuan.
"Dua pelajar berkenaan iaitu Mohamad Nurazri Sh Mohamad, 18, dan Muhamad Lukman Naqib Ahmad,18, masing-masing menerima bantuan RM5,000 seorang berikutan mereka hanya akan menerima biasiswa pada tahun kedua pengajian.
"JASA juga sebelum ini ada memberikan bantuan termasuk kepada pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP), Juliza Amiruddin, 31, yang terpaksa menangguhkan pengajian dalam bidang teknologi maklumat dan grafik berikut penyakit asma kronik dan ditahan di wad hospital selama dua tahun.
"Tahun lalu, JASA juga menyumbangkan dana untuk pemasangan jaring untuk mengelak nyamuk di Sekolah Kebangsaan (SK) Ba Kelalan, di Lawas, Sarawak yang bernilai RM8,000. Ini semua bagi membantu pelajar serta murid daripada keluarga kurang berkemampuan," katanya.
Beliau yang juga Ketua UMNO Batu Pahat berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan bantuan dana pelajaran berkenaan di Masjid Bentara Luar Batu Pahat, di sini, hari ini. Yang turut hadir, Timbalan Ketua UMNO Batu Pahat, Zaidi Japar.
Sementara itu, Mohamad Nurazri dan Mohamad Lukman adalah bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Syed Esa di sini, yang masing-masing mencatat keputusan cemerlang 5A dan 7A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lalu bersyukur dengan bantuan kewangan JASA itu.
Mohamad Nurazri berkata, mereka berjanji tidak akan mensia-siakan bantuan yang diberikan dan akan belajar dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan.
"Kami daripada keluarga susah dan akan menjadikan peluang untuk berusaha dengan tekun untuk menabur bakti kepada keluarga, agama dan negara pula nanti," katanya.
Oleh Farah Suhaidah Othman 09 Sep, 2016
Bagaimana Pula Pandangan Anda?