IPOH: Air mata kegembiraan ibu menyambut kepulangan pengembara solo wanita bermotosikal, Anita Yusuf, sebaik tiba di rumah ibunya itu di Taman Lapangan Terbang, di sini sebentar tadi.
Khadijah Shah Baba, 67, sebak sebaik mendakap erat anaknya yang sudah setahun tidak bertemu.
Anita yang diiringi kira-kira 10 penunggang motosikal berkuasa besar tiba di perkarangan rumah ibunya itu jam 5.55 petang dan disambut keluarganya termasuk ibu dan kakaknya, Johana Yusuf, 50.
Khadijah berkata, meskipun pada mulanya berat hati membenarkan anak perempuan keduanya mengembara seorang diri namun dia tidak mampu berbuat apa-apa kerana Anita tekad untuk meneruskan misi itu.
Katanya, sebagai ibu dia hanya mampu mendoakan keselamatan dan kesejahteraan anaknya sepanjang setahun berada di luar negara.
"Dia (Anita) beritahu mak cik pun 'last minute' (saat akhir) sampai tidak sempat mak cik hendak menyediakan apa-apa (bekalan) untuknya," katanya ketika ditemui di kediamannya di sini hari ini.

ANITA (kanan) dipeluk ibunya Khadijah (tengah) dan kakaknya, Johana Yusuf sebaik tiba di rumah ibunya di Taman Lapangan Terbang. - Foto Yahya Zainuddin

ANITA memeluk anaknya, Rudy Iskandar Ramli (tengah) dan Emier Shah Iskandar ketika tiba di perkarangan Balai Polis Bukit Kayu Hitam selepas menamatkan misi mengelilingi dunia. - Foto Amran Hamid
Khadijah bersyukur kerana Anita selamat pulang ke tanah air pagi ini dan menyifatkan Anita seorang anak yang tidak pernah melupakan tanggungjawabnya sebagai seorang anak dan wanita Islam.
"Anita memang seorang yang lasak, jadi sejak dulu memang dia tidak reti duduk diam...ada sahaja yang mahu dilakukannya. "Sepanjang setahun dia pergi, dia sentiasa menghubungi mak cik. Meskipun tidak setiap hari namun dapat mendengar suara dia, mak cik sudah cukup gembira," katanya.
Sementara itu, Anita berkata dia bertekad untuk memilih Hari Malaysia sebagai mengakhiri kembara solo di 40 negara selama 370 hari kerana mahu menjadikan hari itu hari bermakna buat dirinya serta rakyat Malaysia.
"Ini merupakan hadiah dan sumbangan saya buat rakyat dan Malaysia. Saya mahu dikenali sebagai wanita Islam pertama yang mengembara solo menaiki motosikal," katanya.
Anita memenuhi impian itu dengan menghabiskan masa 370 hari mengembara solo dengan menaiki motosikal jenis Yamaha FZ150i merentasi 40 buah negara sejauh 65,000 kilometer sejak meninggalkan Malaysia 10 September tahun lalu.

ANITA (tengah) bergambar bersama penunggang motosikal berkuasa tinggi ketika tiba di perkarangan Balai Polis Bukit Kayu Hitam selepas menamatkan misi mengelilingi dunia. - Foto Amran Hamid

Oleh Muhammad Mustakim Ramli 16 Sep, 2016
Bagaimana Pula Pandangan Anda?
click the icon and copy the shortcode
To insert emoticon you must added at least one space before the code.