Perhimpunan Bersih 5 Semakin 'PANAS'

KUALA LUMPUR: Keadaan perhimpunan Bersih 5, Gerakan Baju Merah dan kumpulan lain di beberapa lokasi di ibu negara dilaporkan semakin `panas' berikutan berlaku beberapa insiden termasuk peserta dikasari serta penahanan individu.


Sehingga jam 11 pagi ini, seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki mengasari seorang peserta Bersih 5 di Padang Merbok, antara lokasi berhimpun sebelum bergerak ke Dataran Merdeka. Aktivis Bersih, Hishamuddin Rais ditahan polis pada jam 10.30 pagi tadi. 

Sementara itu, tinjauan wartawan BH di lokasi mendapati penyokong beberapa kumpulan itu sudah mula memenuhi Jalan Tun Perak dan Jalan Raja Laut menuju ke Dataran Merdeka. 

Bagaimanapun, keadaan masih terkawal dengan pemantauan keselamatan oleh polis dan anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mengawasi kawasan sejak awal pagi. 

Besi penghadang turut diletakkan di sekitar kawasan Dataran Merdeka bagi mengelak diceroboh peserta perhimpunan. 

Peserta kumpulan Bersih 5 dilihat cuba melepasi kawalan polis di Jalan Parlimen untuk ke Dataran Merdeka, namun tidak dibenarkan berbuat demikian manakala individu dipercayai peserta Bersih 5 diminta polis beredar dari perkarangan pusat beli-belah Sogo. 

Sekumpulan kecil peserta Bersih 5 dilapor masih cuba melalui Padang Merbok untuk ke Dataran Merdeka dan bertembung peserta Baju Merah yang berkumpul sejak awal pagi. 

Berikutan dihalang memasuki Dataran Merdeka serta kawasan sekitar, penganjur Bersih 5 menjadikan kawasan stesen LRT Masjid Jamek pentas sementara untuk pemimpin kumpulan itu memberikan ucapan. 

Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dilihat sedia berhadapan kumpulan Baju Merah yang dianggar 1,000 orang dan dikatakan berarak ke Sogo.

0 comment... add one now

Bagaimana Pula Pandangan Anda?