MENTERI Luar, Datuk Seri Anifah Aman (kanan) hadir dalam mesyuarat bersama menteri-menteri luar dari Australia, Belgium, Ukraine dan Belanda berkaitan MH17 yang diadakan di New York. - Foto BERNAMA
NEW YORK: Malaysia bersama Australia, Belgium, Ukraine dan Belanda mengulangi gesaan mendesak pihak yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines (MAS), MH17 pada 17 Julai 2014 dibawa ke muka pengadilan.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata kesepakatan lima negara itu dicapai menerusi mesyuarat menteri-menteri luar yang diadakan di sini sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) ke-71, semalam.
Katanya, beliau dan rakan sejawatannya mewakili negara yang menjalin kerjasama bagi menjalankan siasatan jenayah terhadap insiden tembakan MH17, selaras dengan Resolusi 2166 Majlis Keselamatan PBB.
"Dalam mesyuarat itu, menteri-menteri luar terbabit mengulangi gesaan kepada Majlis Keselamatan PBB, mengikut Resolusi 2166 dan komitmen kerajaan masing-masing agar pihak yang bertanggungjawab dalam insiden itu dibawa ke muka pengadilan.
"Kami juga merujuk kepada Majlis Keselamatan PBB untuk meminta semua negara anggota PBB memberi kerjasama sepenuhnya bagi memastikan akauntabiliti terhadap insiden berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pesawat MH17 terhempas kira-kira pukul 10.15 malam waktu Malaysia di Donetsk, timur Ukraine pada 17 Julai 2014, kira-kira empat bulan selepas kehilangan pesawat MH370.
Pesawat Boeing 777-200 dengan 298 penumpang dan anak kapal dipercayai ditembak jatuh dengan peluru berpandu darat ke udara (SAM) ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.
Anifah berkata, negara terbabit turut menyokong penuh siasatan dijalankan Pasukan Siasatan Bersama (JIT) yang mana laporan interim hasil siasatan itu akan dibentangkan pada 28 September ini.
"Kami juga membincangkan kemajuan dicapai bagi menentukan mekanisme pendakwaan memandangkan usaha untuk menubuhkan Tribunal PBB menerima keputusan veto di Majlis Keselamatan PBB pada Julai 2015," katanya.
Beliau berkata, negara yang diwakili dalam JIT kekal dengan komitmen mereka untuk mengambil langkah efektif bagi membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan bagi memberi keadilan kepada mangsa dan keluarga mereka.
Oleh Mohd Anwar Patho Rohman 21 Sep, 2016
Bagaimana Pula Pandangan Anda?