CICC perlu RM200,000 beli bangunan

(DARI kiri) Azizan, Aniza, Rahimah, Datin Rose dan Saeed dalam majlis sumbangan ringkas di CICC.

CHIBA (Jepun): Pusat Kebudayaan Islam Chiba (CICC) memerlukan bantuan kewangan sebanyak RM200,000 lagi bagi memastikan hasrat untuk membeli bangunan yang disewa sebagai Masjid Nishi-Chiba menjadi kenyataan.

Pengerusinya, Azizan Mohamad berkata, pihaknya mempunyai tempoh hingga Ahad ini untuk melunaskan bayaran penuh bangunan lima tingkat itu yang bernilai RM2 juta.

Beliau berkata sehingga kini, pihaknya bersama jawatankuasa masjid terdiri daripada pelbagai bangsa berjaya mengumpul RM1.7 juta selepas membayar wang pendahuluan sebanyak RM120,000 pada Februari lalu.

"Kami menyewa tingkat tiga bangunan untuk dijadikan masjid dan pusat kebudayaan sejak Mac 2014 dengan bayaran sewa sebanyak RM4,000 sebulan hasil kutipan komuniti Islam.

"Selepas pemilik bangunan menyatakan hasrat untuk menjual bangunan ini pada Februari lalu, kami berusaha mengumpul dana untuk membeli bangunan ini termasuk daripada pelbagai organisasi dan komuniti Muslim di sini yang kebanyakannya terdiri daripada rakyat Malaysia dan Indonesia.

"Kami berharap masyarakat Islam di Malaysia turut membantu usaha kami ini supaya syiar agama Islam dapat ditegakkan di bumi ini," katanya selepas menerima sumbangan daripada Persatuan Wanita Kedutaan Besar Malaysia (PERWAKILAN) Tokyo di CICC, dekat sini, hari ini.

Sumbangan disampaikan Presiden PERWAKILAN Tokyo, Datin Rose Abdullah. Turut hadir ahli jawatankuasa CICC, Saeed Akhtar dan ahli PERWAKILAN, Rahimah Abd Malik dan Aniza Alias.

Saeed berkata, sekiranya hasil kutipan masih tidak mencukupi, pihaknya bercadang untuk membuat pinjaman kewangan dengan masyarakat Muslim di kawasan itu.

"Ia adalah pilihan terakhir yang akan dibuat bagi memastikan wang pendahuluan dan usaha kami tidak hilang begitu saja," katanya yang berasal dari Pakistan dan menetap di negara ini sejak 10 tahun lalu.

Sementara itu, Rose berkata, sumbangan ahli PERWAKILAN dan kakitangan kedutaan sebanyak 265,000 yen (RM10,773) itu dilakukan sebaik saja pihaknya mendapat maklumat mengenai bantuan berkenaan.

"Kutipan segera dijalankan dalam tempoh sehari dan berharap ia dapat membantu usaha CICC membeli bangunan ini bagi kegunaan masyarakat Islam di Chiba yang semakin bertambah," katanya.

Maklumat lanjut mengenai sumbangan boleh diperoleh di laman Facebook, Selamatkan Masjid Nishi-Chiba atau menghubungi talian 013-9802465.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh memasukkan derma ke akaun wakil CICC di Kuala Lumpur, Wan Habsah Wan Ahmad.

Oleh Mohd Anwar Patho Rohman 21 Sep, 2016

0 comment... add one now

Bagaimana Pula Pandangan Anda?